Join ViralMoneyList.com

Khamis, 4 Jun 2009

Walimatul Urus: Di Antara Sunnah Dan Yang Ditokok Tambah

Mewujudkan
sebuah perkahwinan adalah merupakan satu langkah yang sangat murni dan
sangat-sangat dituntut oleh agama yang fitrah. Perkahwinan atau ikatan
pernikahan adalah sebuah sunnah yang mulia yang telah dilakukan oleh
para Nabi dan Rasul serta generasi awal dan akhir yang mengikuti
petunjuk mereka.

Perkahwinan adalah sebuah fitrah yang telah sedia ditanamkan ke dalam
jiwa-jiwa manusia seluruhnya. Oleh sebab itu, Islam sangat-sangat
menggalakkan umatnya untuk berkahwin. Ini tidaklah seperti mana yang
berlaku kepada sebahagian agama seperti Kristian yang
menggalakkan kerahiban, dan pertapaan para sami dari agama budha dan
seumpamanya yang melarang perkahwinan. Malahan sebenarnya sebuah
perkahwinan merupakan asas pembentukan sesebuah masyarakat yang
harmoni. Dengan perkahwinan, jiwa-jiwa menjadi tenang, hati menjadi
tenteram, populasi manusia semakin bertambah disebabkan oleh sebuah
ikatan percintaan yang halal lagi sistematik.

Sekaligus, ikatan perkahwinan dapat mengawal dari berlakunya pelbagai
bentuk gejala yang tidak sihat seperti perzinaan, perbuatan
homoseksual dan juga pelacuran sebagaimana yang berlaku di era zaman
jahiliyyah sebelum datangnya Islam ke tanah Arab dan kini banyak
berlaku di negara-negara barat pula.

Dengan izin dari Allah Subhanhu wa Ta'ala, tulisan ini cuba mengupas
sebahagian daripada juzuk perkahwinan yang dimaksudkan. Tulisan ini
bakal difokuskan kepada skop perlaksanaan majlis perkahwinan atau
disebut sebagai walimatul urus.

Penulis terlintas untuk menulis berkenaan dengan topik ini adalah
disebabkan melihat fenomena yang banyak berlaku pada akhir-akhir ini
di mana majlis-majlis perkahwinan rata-ratanya semakin meriah tetapi
pelik yang dilengkapi dengan kepelbagaian acara. Malah, ia dijadikan
sebagai sebuah kebanggan bagi sesebuah pasangan pengantin baru
sekiranya mereka berupaya mengadakan majlis perkahwinan mereka secara
besar-besaran dengan disertai pelbagai juadah makanan dan acara
tertentu yang menarik perhatian.

Ini termasuklah pelbagai bentuk makanan yang dihias dengan pelbagai
rupa dan dimeriahkan lagi dengan upacara persandingan, muzik,
tari-tarian dan nyanyi-nyanyian, upacara potong kek, adat menyarung
cincin, dan seumpamanya.

Maka di sini timbullah sebuah persoalan, iaitu sejauh manakah
sebenarnya majlis perkahiwnan yang benar-benar dianjurkan oleh
Syari'at sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Qur'an dan as-Sunnah
yang sahih? Adakah majlis perkahwinan itu perlu diadakan dengan
pelbagai aturcara seperti upacara sarung cincin, persandingan, iringan
muzik, dan sesi mengambil gambar? Selanjutnya, adakah bentuk-bentuk
aturcara walimah seperti ini benar-benar menepati kehendak syari'at
dan merupakan suatu yang dibenarkan atau sebaliknya?

Dengan itu, maka tulisan ini pun disiapkan dan insyaAllah tulisan ini
akan cuba menyampaikan dan menggariskan bentuk majlis perkahwinan
(walimatul urus) yang bertepatan dengan agama kita yang suci lagi
murni. Sekaligus melihat sejauh manakah majlis perkahwinan masyarakat
kita ini yang sebenarnya telah banyak ditokok tambah dengan pelbagai
bentuk perbuatan yang mungkar lagi bercanggah dengan syari'at.

Dengan mengetahui yang mana yang realiti lagi sahih daripada sunnah,
maka seterusnya
tiada masalah untuk kita membezakan di mana sebenarnya yang mungkar,
yang ditokok tambah dan seterusnya kita berupaya menjadikan sebuah
majlis perkahwinan itu adalah sebuah majlis yang berhak mendapat
keberkahan dan redha dari Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan
memisahkannya dari apa yang tidak disyari'atkan.

Definisi Walimatul urus

Menurut Imam ash-Shan'ani:

Kata walimah (وَلِيْمَة) diambil dari kata asal (ولم) yang bererti
perhimpunan, kerana pasangan suami isteri (pada ketika itu) berkumpul
sebagai mana yang dikatakan oleh imam az-Zuhri dan yang lainnya.
Bentuk kata kerjanya adalah awlama yang bermakna setiap makanan yang
dihidangkan untuk menterjemahkan kegembiraan. Dan walimatul urus
adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami
isteri dan perpindahan status kepemilikan. (Imam Muhammad bin Ismail
ash-Shan'ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah,
m/s. 724, Darus Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim:

Al-Walimah
ertinya adalah makanan yang biasa disajikan (dihidangkan) pada pesta
(majlis) pernikahan secara khusus. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim,
Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 310, Pustaka Ibnu
Katsir)

Dari dua penjelasan ini dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan
dengan walimatul urus itu adalah jamuan makan yang diadakan disebabkan
berlangsungnya ikatan perkahwinan (pernikahan).

Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas radhiyallahu
'anhu, di mana beliau berkata:

"Ketika tiba waktu pagi hari setelah Nabi Shallallahu 'alaihi wa
Sallam menjadi seorang pengantin dengan Zainab bin Jahsy, beliau
mengundang orang-orang, lalu mereka dijamu dengan makanan dan setelah
itu mereka pun bersurai." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1428)

Juga perkataan Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam kepada 'Abdurrahman
bin 'Auf apabila Nabi mengetahui 'Abdurrahman baru sahaja bernikah:

"Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing." (Hadis
Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Dari Anas radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

"Ketika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menikahi seorang
perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang
untuk makan." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3219)

Hukum Mengadakan Walimatul Urus

Imam ash-Shan'ani rahimahullah menjelaskan:

"Imam Ahmad berkata, "Walimah itu hukumnya sunnah". Menurut jumhur,
walimah itu disunnahkan (mandub). Ibnu Baththal berpendapat, "Aku
tidak tahu apabila ada ulama yang mewajibkan, mungkin dia tidak tahu
perbezaan ulama tentang hukum tersebut".

Jumhur mengatakan hukumnya sunnah berdasarkan pendapat asy-Syafi'i
rahimahullah." (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan'ani, Subulus Salam,
jil. 2, Bab Nikah, m/s. 726, Darus Sunnah)

Manakala sebahagian pendapat mengatakannya sebagai wajib seperti
pendapat mazhab Zahiri sebagaimana yang dijelaskan di dalam Subulus
Salam, asy-Syafi'i di dalam al-Umm, dan juga pendapat Syaikh al-Albani
di dalam Adabuz Zifaf.

Ada pun pendapat yang terpilih adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh
Ibnu Qudamah rahimahullah:

"Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum
walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari'atkan
(sangat dituntut), bukan wajib." (Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil 7, m/s.
2)

Siapa Yang Mengadakan Walimah

Walimah dilaksanakan dan diselenggarakan oleh Suami. Ini adalah
sebagaimana perbuatan Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri dan
turut dicontohi oleh para sahabat-sahabatnya yang lain.

Dari Anas radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

"Ketika Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam menikahi seorang
perempuan, beliau mengutuskan aku untuk mengundang beberapa orang
untuk makan." (Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, no. 3219)

Juga dari Anas radhiyallahu 'anhu, beliau menjelaskan:

"'Abdurrahaman berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru
sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas
(emas sebesar biji kurma)". Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam
bersabda:

"Semoga Allah memberkahimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan
menyembelih seekor kambing"." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah telah memerintahkan 'Abdurrahman bin
'Auf supaya mengadakan walimah.

Walau pun begitu, walimah tidaklah semestinya dilakukan dengan seekor
kambing tetapi ia dilakukan bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini
adalah kerana Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri pernah
melaksanakan walimah untuk Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma
tanpa biji yang dicampur dengan keju dan tepung di atas sumbangan para
sahabat yang hadir. (Rujuk Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Waktu Walimah

Imam al-Mawardi dari mazhab asy-Syafi'i menjelaskan bahawa waktunya
adalah setelah selesai akad pernikahan dan setelah kedua pasangan
bersama.

Ibnu as-Subki berkata:

"Yang diriwayatkan dari perbuatan Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam
bahawa walimah itu diselenggarakan setelah berhubungan (pasangan
bersama), berdasarkan hadis pernikahan di antara Nabi dengan Zainab
binti Jahsy iaitu berpandukan perkataan Anas "di pagi harinya" (rujuk
hadis di atas), iaitu ketika Nabi menjadi pengantin dengan Zainab,
beliau mengundang kaum muslimin, perbuatan Nabi ini dijadikan bab oleh
al-Baihaqi sebagai "Bab Waktu Walimah". (Imam Muhammad bin Ismail
ash-Shan'ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 727, Darus
Sunnah)

Menurut Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim, walimah tidak diadakan ketika
perjalanan akad nikah berlangsung atau sebaik akad nikah, tetapi
adalah setelah pasangan bersama (bersetubuh). (Rujuk: Abu Malik Kamal
as-Sayyid Salim, Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 311,
Pustaka Ibnu Katsir)

Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Amru Abdul Mun'im Salim:

"Seseorang hendaklah menyelenggarakan walimah setelah ia berkumpul
dengan isterinya." (Amru Abdul Mun'im Salim, Panduan Lengkap Nikah
Menuju Keluarga Sakinah, m/s. 177, Dar an-Naba')

Hukum Menghadiri Undangan Walimah

Hukum menghadiri undangan walimah adalah wajib. Ini adalah sebagaimana
hadis yang diriwayatkan dari Ibnu 'Umar radhiyallahu 'anhu, beliau
berkata, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah,
hendaklah dia menghadirinya." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga
turut dijelaskan oleh Ibnu 'Abdil Barr, imam asy-Syafi'i, Imam Ahmad,
Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi
kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallalalhu
'alaihi wa Sallam bersabda:

"Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan
maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no.
5177)

Walau pun begitu, undangan ke majlis walimah boleh ditinggalkan
sekiranya memiliki uzur. Ini adalah sebagaimana penjelasan berikut:

1 – Apabila di dalam walimah tersebut mengandungi perkara-perkara
maksiat seperti jamuan khamar (arak), gambar-gambar makhluk bernyawa,
dan permainan alat-alat muzik dan nyanyian. Sekiranya ini berlaku,
maka seseorang tidak perlu menghadirinya melainkan dengan tujuan untuk
mencegah kemungkaran tersebut. Sekiranya dia berjaya mencegahnya, maka
itu adalah satu kebajikan, dan sekiranya tidak berjaya, hendaklah dia
segera beredar.

Ini adalah sebagaimana hadis 'Ali radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

"Aku membuat makanan, lalu aku mengundang Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam, kemudian beliau tiba, lalu beliau pun segera
pulang. Aku pun segera bertanya, "Wahai Rasulullah, Ibu dan Bapaku
sebagai tebusan, apakah yang membuatkan engkau pulang?"

Beliau menjawab:

"Sesungguhnya di dalam rumah ada kain penutup yang bergambar, dan
sesungguhnya para
malaikat tidak akan memasuki ke dalam sesebuah rumah yang di dalamnya
mengandungi gambar-gambar." (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 3359.
Dinyatakan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah dan
Adabuz Zifaf)

Juga hadis dari 'Umar al-Khaththab radhiyallahu 'anhu, Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Sesiapa beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka janganlah duduk di meja makan
yang di sana dihidangkan minuman keras (khamar)." (Hadis Riwayat Ahmad
dan at-Tirmidzi. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 152, Media
Hidayah)

2 – Apabila terdapat pengkhususan undangan di mana orang yang
mengundang membeza-bezakan di antara yang kaya dengan yang miskin atau
fakir, makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat, dan seumpamanya.
Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ash-Shan'ani di mana
diizinkan untuk tidak memenuhi undangan walimah "apabila adanya uzur
di antaranya, apabila makanan yang dihidangkan mengandungi syubhat
(tidak jelas kehalalannya), atau diperuntukkan kepada orang-orang kaya
sahaja, atau ada orang yang tidak senang dengannya..." (Imam Muhammad
bin Ismail ash-Shan'ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 729,
Darus Sunnah)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wa Sallam bersabda:

"Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam
walimah tersebut
tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang
orang yang tidak memerlukan (orang kaya)..." (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 5177)

Di antara uzur lain yang dibenarkan untuk tidak hadir ke undangan
walimah adalah seperti uzur yang dengannya seseorang boleh
meninggalkan solat Juma'at, seperti terjadinya hujan yang sangat
lebat, jalan yang bermasalah, kerana takutkan musuh, takut hilangnya
harta,
dan yang lain yang seumpama. (Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim,
Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 314, Pustaka Ibnu
Katsir)

Digalakkan Mengundang Orang Bertaqwa (Soleh)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut:

"Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman, dan
janganlah makanan kamu dimakan melainkan oleh orang-orang yang
bertaqwa." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811. Hadis ini hasan menurut
penilaian al-Albani)

Daripada Anas radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa
Sallam berdoa kepada Sa'ad bin 'Ubaidah yang menghidangkan kismis
untuknya:

"Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan
orang-orang yang puasa berbuka di tempatmu." (Hadis Riwayat Ahmad.
Lihat: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 157, Media Hidayah)

Dan jangan sekali-kali hanya mengundang orang-orang yang kaya lalu
melupakan orang-orang yang memerlukan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wa Sallam bersabda:

"Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam
walimah tersebut
tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang
orang yang tidak memerlukan (orang kaya)..." (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 5177)

Bolehkah Orang Yang Berpusa Menghadiri Walimah?

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wa Sallam bersabda:

"Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi
undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan,
dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan." (Hadis Riwayat
Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shan'ani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi
undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail
ash-Shan'ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus
Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi
undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan
tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja
tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang
mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak
memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang
ditinggalkannya tidak wajib diganti.

Dari Jabir radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa
Sallam bersabda:

"Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia
menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia
boleh untuk meninggalkannya." (Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan,
keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta
mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah).

Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya
adalah sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari
Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang
berkahwin, beliau akan berkata:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

"Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan
menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan." (Hadis Riwayat Abu Daud,
no. 2130. Hadis ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi
sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam berkata kepada 'Abdurrahman bin 'Auf:

بَارَكَ اللهُ لَكَ

"Semoga Allah memberkahimu..." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Doa ketika Rasulullah menikahkan 'Ali dengan Fatimah:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا

"Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka
berdua." (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk:
al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)

Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wa Sallam mendoakan untuk Abdullah bin Busr
radhiyallahu 'anhu dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai
dijamu makanan:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ

"Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan
kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka." (Hadis
Riwayat Muslim, no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima
kasih di atas undangan yang diberikan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wa Sallam bersabda:

"Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada
manusia." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari'atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah
sedia dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam
seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan
yang tidak sewajarnya.

Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan
bentuk-bentuk ucapan seperti:

"Selamat pengantin baru."

"Semoga bahagia dan mendapat ramai anak."

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh
para ulama sejak awal lagi.

Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani rahimahullah menjelaskan:

"Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga
ucapan ini dilarang." (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh
Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri
telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh
'Uqail bin Abu Thalib.

Ini berlaku di ketika 'Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku
Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan:

"Semoga bahagia dan mendapat ramai anak."

'Uqail pun berkata, "Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana
Rasulullah telah melarangnya)." Mereka pun bertanya, "jadi, apa yang
harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?"

'Uqail berkata,

"Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan".
Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah,
'Abdurrazzaq, Ahmad.. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media
Hidayah)

Disunnahkan Memberi Hadiah dan Membantu Melaksanakan Walimah

Dari Anas radhiyallahu 'anhu, beliau berkata:

"Setelah Nabi Shallalalhu 'alaihi wa Sallam menikahi Shafiyah, pada
pagi harinya Nabi pun berkata: "Sesiapa yang memiliki sesuatu untuk
disumbangkan, hendaklah disumbangkan". Beliau pun menghamparkan
lembaran kulit yang disamak (sebagai bekas). Ada orang yang menyumbang
keju, ada yang menyumbang kurma, dan ada yang memberikan minyak samin.
Mereka pun membuat hais (campuran kurma tanpa biji, keju, tepung dan
minyak)."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2048)

Berdasarkan hadis ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:

"Orang-orang kaya dan yang memiliki kelebihan (bekalan) dianjurkan
untuk memberikan sumbangan di dalam majlis walimah saudaranya."
(al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 139, Media Hidayah)

Demikianlah sesebuah majlis walimah (walimatul urus) yang ditunjukkan
oleh Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam dan diamalkan
oleh para sahabat dan generasi awal umat Islam lainnya. Ianya begitu
mudah dan ringkas.

Di bahagian seterusnya, tulisan akan difokuskan kepada beberapa contoh
amalan di dalam masyarakat Melayu ketika majlis-majlis walimah mereka
pasa masa kini. Sekaligus kita akan melihat sama ada ianya harus,
sunnah, atau sebaliknya yang membawa kepada larangan syari'at mahu pun
bid'ah.

Kemungkaran dan Tokok Tambah (Bid'ah) Di Dalam Majlis Walimah

Bahagian ini ditulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap majlis
walimah (walimatul urus) tertentu di sekitar masyarakat Melayu
Semenanjung Malaysia.

Yang dimaksudkan sebagai kemungkaran di sini adalah apa jua perkara
yang dilarang dan diharamkan di dalam agama.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti
langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah
syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan
yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan
rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorang pun dari kamu
bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya,
tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah an-Nuur, 24: 21)

"Waai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang
baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah
terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu
termasuk perkara yang diwajibkan (oleh Allah)." (Surah Luqman, 31: 17)

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang
dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah." (Surah al-Hasyr, 59: 7)

Manakala tokok tambah (bid'ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua
tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada
asalnya menurut timbangan agama tidak disyari'atkan. Aturcara walimah
(majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari'atkan oleh
agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Di
mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

"Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur'an), sebaik-baik
petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam,
seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama,
setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid'ah,
dan setiap bid'ah itu sesat." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1097)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam bersabda:

"Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam
agama. Setiap perkara
yang baru (di dalam agama) adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah
sesat." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Dengan lebih tepat, "bid'ah adalah sebuah cara baru di dalam agama
yang dibuat menyerupai
seakan-akan syari'at dengan tujuan untuk berlebih-lebihan di dalam
beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala." (Imam asy-Syatibi, di
dalam al-I'tisyam. Rujuk: Yazid Abdul Qadir Jawas, Syarah 'Aqidah
Ahlus Sunnah wal Jama'ah, m/s. 78-79, Pustaka Imam asy-Syafi'i. Juga
Alawy Abdul Qadir as-Saqqaf, Mukhtashar al-I'tisham, m/s. 32, Media
Hidayah)

Maka dengan ini, sesuatu yang asalnya tidak dikhususkan atau tidak
disyari'atkan oleh agama melalui dalil-dalil yang benar di dalam
walimatul urus, maka sekiranya ia berlaku dan dilakukan ini adalah
termasuk ke dalam bentuk-bentuk tokok tambah terhadap agama yang jelas
bertentangan dan mengajak kepada perbuatan bid'ah.

Perbahasan di dalam bahagian ini akan dibawakan dengan seringkas
mungkin dan padat.

1 – Membuka Aurat

Perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai (para hadirin) oleh
wanita pada masa ini semakin banyak dilakukan di dalam majlis-majlis
walimah. Malah ianya sudah menjadi satu trend (gaya) dalam kalangan
umat Islam setiap kali pasangan pengantin melangsungkan majlis
perkahwinan mereka. Terdapat sebagahagian wanita yang asalnya
bertudung, tetapi apabila tiba hari perkahwinannya, dia dengan relanya
membuka tudung dan menededahkan bahagian-bahagian aurat tertentu.
Termasuk perbuatan mendedahkan aurat adalah dengan memakai pakaian
yang ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh badan, mengenakan
pakaian dengan kain yang jarang, dan mengenakan kain yang tipis.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangan dan
kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali
yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain
tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat)
kecuali kepada... (mahram mereka)..." (Surah an-Nuur, 24: 31)

Untuk lebih lanjut berkenaan perbahasan aurat wanita, bolehlah merujuk
tulisan bertajuk: "Pakaian Seorang Wanita Beriman (Muslimah) Menurut
al-Qur'an & as-Sunnah" di blog fiqh penulis. Atau boleh juga merujuk
sebuah buku yang baik karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani
bertajuk, "Jilbab al-Mar'atil Muslimah", dan buku ini telah pun
diterjemahkan oleh Media Hidayah dan Pustaka at-Tibyan dengan tajuk
"Jilbab Wanita Muslimah".

2 – Bersolek dan memakai wangi-wangian bagi wanita

Dari Abu Musa al-Asy'ary radhiyallahu 'anhu, dia berkata:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam bersabda:

"Wanita yang memakai wangi-wangian, dan kemudian dia melintasi suatu
kaum supaya mereka mencium bau wanginya, maka wanita tersebut adalah
wanita penzina." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4172, at-Tirmidzi, no.
2786)

"Alasan dari larangan tersebut dapat dilihat dengan jelas iaitu
menggerakkan panggilan syahwat (kaum lelaki). Sebahagian ulama telah
mengaitkan perkara lain dengannya, seperti memakai pakaian yang cantik
(melawa), perhiasan yang ditampakkan, dan bercampur baur dengan kaum
lelaki." (Ibnu Hajar al-'Asqalani, Fathul Bari, 2/279. Rujuk: Abu
Malik Kamal,
Ensiklopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 151, Pustaka Ibnu Katsir)

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"...
Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah laku seperti
orang-orang Jahiliyyah yang dahulu." (Surah al-Ahzab, 33: 33)

3 – Mencukur Kening dan Memakai Rambut Palsu

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

"Allah melaknat orang yang membuat tatu dan wanita yang minta ditatu,
wanita yang menyambung rambutnya (dengan rambut palsu), yang mencukur
alis (bulu kening), dan yang minta dicukur, dan wanita yang
merenggangkan giginya untuk kecantikan sehingga mengubah ciptaan
Allah." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4886)

4 – Memanjangkan Kuku dan Mewarnakannya Dengan Pewarna

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Termasuk fitrah bagi manusia itu ada lima: Khitan, mencukur bulu
kemaluan, merapikan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5889)

Berkenaan permasalahan trend mewarnakan kuku ini, Syaikh al-Albani
rahimahullah berkata:

"Ini adalah merupakan kebiasaan buruk yang dilakukan oleh
wanita-wanita Eropah kepada wanita-wanita Islam, iaitu memanjangkan
kuku dan mewarnakannya dengan warna merah atau selainnya dengan kuteks
(pewarna/pengecat kuku). Kebiasaan ini juga turut dilakukan oleh
sebahagian pemuda. Perbuatan ini selain mengubah ciptaan Allah, ia
juga menjadikan pelakunya terlaknat dan perbuatan ini termasuk
meniru-niru (tasyabbuh) perbuatan wanita-wanita kafir.

"Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang
kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka." (al-Albani,
Adabuz Zifaf, m/s. 184, Media Hidayah)

Daripada Ibnu 'Umar, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang
kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka." (Hadis Riwayat
Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami', no.
6149, juga dijelaskan di dalam Jilbab al-Mar'atil Muslimah)

5 – Mencukur Janggut

Sebahagian kaum lelaki muslim pada masa ini tidak lagi berminat
memelihara janggut
dan membenci memelihara janggut. Malah, ada pula di antara mereka yang
mencukur janggutnya semata-mata untuk nampak bergaya di majlis
perkahwinannya. Sedangkan, perbuatan memelihara janggut adalah sebuah
sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam,
dan di dalam banyak hadis-hadisnya berkenaan janggut ia menunjukkan
sebuah perintah yang perlu diikuti.

Daripada Ibnu 'Umar radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wa Sallam bersabda:

"Selisihilah kaum majusi, rapikanlah misai, dan peliharalah janggut."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5893)

Untuk perbahasan lanjut berkenaan hukum dan sunnah memelihara janggut
ini, anda bolehlah merujuk sebuah tulisan yang ditulis oleh Ustaz
Rasul Dahri yang telah saya letakkan di dalam blog fiqh saya bertajuk
"Pandangan Syari'at Berkenaan Pemeliharaan Janggut".

6 – Mengkhususkan Adanya Cincin Perkahwinan

Perbuatan bertukar cincin atau menetapkan adanya cincin perkahwinan,
pertunangan,
atau pun pernikahan, ianya sama sekali bukan berasal daripada ajaran
Islam.

Ini adalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani rahimahullah:

"Tindakan ini (menyarung cincin) selain meniru tradisi orang-orang
kafir sehingga menjadi sebuah larangan, ia juga mengandungi
pelanggaran terhadap dalil-dalil hadis yang melarang lelaki mengenakan
cincin emas..." (al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 191, Media Hidayah)

Asal perbuatan (adat) menyarung cincin perkahwinan ini adalah berasal
dari adat kepercayaan kuno kaum Nasrani (kristian). Ini adalah
sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitabnya,
Adabuz Zifaf.

Syaikh Ibnu Bazz rahimahullah (Mufti Saudi Arabia) menjelaskan: "Kami
tidak mengetahui dasar amalan ini (sarung cincin) di dalam syari'at."
(Muhammad al-Musnid, Fatawa Islamiyah, 3/129. Rujuk: Panduan Lengkap
Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 230, Pustaka Ibnu Katsir)

7 – Adat Bersanding dan Pelamin

Perbuatan mengadakan pelamin dan adat bersanding bukanlah sebuah
amalan yang berasal dari ajaran Islam. Malah, ia mungkin ditiru dan
berasal dari ajaran Hindu atau pun Kristian.. Ini adalah kerana amalan
tersebut sangat mirip dengan adat upacara perkahwinan mereka.

Menurut Syaikh Abdullah bin 'Abdurrahman al-Jibrin hafizahullah:

"Perbuatan ini (bersanding) adalah tidak dibenarkan. Sebab ini adalah
bukti atas tercabutnya rasa malu dan taqlid (mengikuti) kepada kaum
yang suka kepada keburukan. Perkaranya adalah jelas. Pengantin wanita
sepatutnya merasa malu menampakkan diri di hadapan manusia, lalu
bagaimana dengan perbuatan tersebut yang sengaja dilakukan di hadapan
orang-orang yang sengaja menyaksikannya?" (Muhammad al-Musnid, Fatawa
Islamiyah, 3/188. Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s.
230, Pustaka Ibnu
Katsir)

Syaikh Ibnu 'Utsaimin rahimahullah berkata:

"Di antara perkara mungkar, bahawa rasa malu sebahagian manusia telah
tercabut dari mereka. (Adalah) seorang suami datang di tengah kaum
wanita dan naik pelamin bersama isterinya di hadapan kaum wanita,
iaitu pada awal pertemuannya dengan isterinya untuk bersanding
dengannya, bersalaman tangan dengannya, mungkin menciumnya, dan
mungkin memberikan hadiah kepadanya berserta coklat dan selainnya yang
dapat menggerakkan
syahwat dan mengakibatkan fitnah." (Min Munkaratil Afraah, m/s. 7, 10.
Rujuk: Panduan Lengkap Nikah, Abu Hafsh Usamah, m/s. 231, Pustaka Ibnu
Katsir)

8 – Menabur Gula-gula, Coklat, dan Bunga

Perbuatan ini tidak terdapat di dalam syari'at atau pun majlis
walimahsebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam.

Ada pun sebenarnya, perbuatan ini termasuk meniru-niru perbuatan kaum
kafir yang diambil dari perbuatan kaum kristian yang menabur bunga di
acara-acara perkahwinan mereka.

Daripada Ibnu 'Umar, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Sesiapa yang meniru-niru perbuatan suatu kaum (kebiasaan orang
kafir), maka dia termasuk di dalam golongan mereka." (Hadis Riwayat
Abu Daud. Sahih menurut Syaikh al-Albani di dalam Shahihul Jami', no.
6149, juga di dalam Jilbab al-Mar'atil Muslimah)

Imam Ibnu Katsir menjelaskan di bawah penafsiran Surah al-Baqarah, 2: 104:

"Allah Ta'ala melarang hamba-hamba-Nya yang beriman menyerupai
(syi'ar) orang-orang kafir, sama ada dalam ucapan mahu pun perbuatan
mereka." (Ibnu Katsir, Shahih Tafsir Ibnu Katsir (Judul asal:
al-Mishbaahul Muniir fii Tahdziibi Tafsiiri Ibni Katsir, Selenggaraan
Syaikh
Syafiurrahman al-Mubarakfuri), jil. 1, m/s. 364, Pustaka Ibnu Katsir)

Sekiranya amalan tersebut disandarkan kepada agama, maka perbuatan
tersebut termasuk meletakkan perbuatan yang tiada asalnya di dalam
agama, maka ia adalah bid'ah lagi sesat. Ini adalah kerana walimatul
urus adalah sebuah aturcara agama sebagaimana yang diperintahkan
(ditekankan) berdasarkan sunnah yang jelas.

Dari 'Aisyah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa
Sallam bersabda:

"Sesiapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru di dalam agama kami
ini, maka ianya tertolak." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2697)

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam bersabda:

"Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam
agama.. Setiap perkara
yang baru (di dalam agama) adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah
sesat." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

9 – Adat Merenjis Air Mawar

Adat ini juga bukan berasal dari Islam. Mungkin ia diambil dari amalan
masyarakat Hindu. Selain merupakan perbuatan yang ditokok tambah
(bid'ah) di dalam walimatul urus, malah ianya juga boleh menjurus
kepada perbuatan syirik sekiranya dengan perbuatan merenjis tersebut
disertakan dengan i'tiqad (keyakinan-keyakinan) tertentu seperti
mempercayai pasangan pengantin yang direnjis akan mendapat kebahagiaan
dan seumpamanya.

10 – Mewajibkan Adanya Duit dan Barang Hantaran

Adat ini ditetapkan oleh kebanyakan masyarakat Melayu secara umumnya
iaitu dengan mewajibkan pihak lelaki (atau bakal/calon suami) supaya
membayar sejumlah wang yang dinamakan sebagai wang hantaran kepada
keluarga pihak perempuan. Kebiasaannya (pada masa ini) sehingga RM10
000 atau lebih dari itu bergantung kepada status pendidikan atau pun
permintaan wanita yang hendak dinikahi. Nilai wang hantaran ini akan
ditetapkan
oleh sama ada bakal isteri atau pihak keluarga bakal isteri. Sekali
imbas, perbuatan ini adalah seakan-akan sebuah perbuatan jual beli
wanita. Dan wang ini akan diserahkan kepada keluarga si isteri.

Dan kemudiannya, kedua-dua pihak akan saling bertukar barang hantaran
tertentu sesama mereka. Di mana mereka mengkhususkan dengan jumlah
bilangan tertentu, seperti 5 dulang dari lelaki berbalas 7 dulang
barangan tertentu dari pihak perempuan, atau 7 dulang dari pihak
lelaki berbalas 9 dulang dari pihak perempuan, atau 9 dulang dari
pihak lelaki berbalas 11 dulang dari pihak perempuan, dan seterusnya.

Ada pun sebenarnya perbuatan ini langsung tidak pernah ditetapkan oleh
Islam, dan perbuatan ini merupakan perbuatan bid'ah iaitu amalan yang
ditokok tambah ke dalam majlis walimah umat Islam. Adalah menjadi
suatu yang sunnah di dalam agama supaya memudahkan urusan pernikahan
(juga urusan yang lain), tetapi, dengan ditambahnya amalan-amalan
seperti ini, ia hanya akan menyusahkan (memberatkan) pasangan yang
hendak berkahwin dan ia sekaligus menggalakkan maksiat sekiranya
perkahwinan ditangguhkan hanya semata-mata disebabkan perkara yang
karut ini.

Dari Irbadh bin Sariyah radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam bersabda:

"Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam
agama. Setiap perkara
yang baru (di dalam agama) adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah
sesat." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4607)

Namun, apa yang diwajibkan atau pun disunnahkan di dalam syari'at
hanyalah memberikan
mahar (maskahwin) oleh lelaki kepada wanita yang dinikahi, sama ada
berdasarkan apa yang diminta oleh wanita tersebut atau pun tanpa
diminta. Dan maskahwin ini tidaklah semestinya di dalam bentuk wang
ringgit atau barang-barang tertentu. Ianya sama ada tertakluk
berdasarkan apa yang diminta oleh wanita, atau pun bebas dengan apa
yang hendak diberikan oleh si lelaki jika si wanita tidak
menetapkannya. Dan mahar adalah merupakan salah satu rukun dan syarat
sahnya nikah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian
dengan penuh kerelaan..." (Surah an-Nisaa', 4: 4)

"... Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara
mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai
suatu kewajiban..." (Surah an-Nisaa', 4: 24)

Dan mahar yang paling baik adalah mahar yang paling mudah, ringan atau
tidak mahal (tidak menyusahkan dan memberatkan si suami).

Daripada 'Uqbah bin 'Amir radhiyallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam bersabda:

"Pernikahan yang paling besar keberkahannya adalah yang paling mudah
maharnya." (Hadis Riwayat Ahmad, no. 24595)

Perbuatan meninggikan atau memahalkan penetapan nilai mahar adalah
satu perbuatan
yang dibenci oleh agama sebagaimana disebutkan di dalam beberapa hadis.

Umar al-Khaththab radhiyallahu 'anhu berkata:

"Ingatlah, janganlah meninggikan nilai mahar wanita. Jika itu
merupakan kemuliaan di dunia atau taqwa di sisi Allah, sudah tentu
yang paling utama melakukannya adalah Rasulullah Shallallahu 'alaihi
wa Sallam." (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2106) (Rujuk: Amru Abdul
Mun'im Salim, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 76, Dar an-Naba')

Sahih di dalam beberapa riwayat bahawa Rasulullah dan beberapa sahabat
berkahwin dengan mengeluarkan mahar yang sangat kecil. Malah di
sebahagian keadaan, ada yang memberikan mahar dalam bentuk cincin
besi, baju besi, memerdekakan hamba, dengan hafazan al-Qur'an, dengan
mengajarkan surah-surah tertentu dari al-Qur'an, dengan segenggam
kurma, dengan mengislamkan seseorang, dengan sebiji emas sebesar biji
kurma, dan selainnya.

11 – Bersalaman Dengan Bukan Mahram

Di dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa:

"Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik
daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (al-Albani,
Silsilah Hadis ash-Shahihah, no: 225)

Dan para ulama juga menetapkan serta menjelaskan bahawa Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah menyentuh wanita
yang tidak halal baginya walau pun di dalam peristiwa bai'ah.

Berkenaan perkara ini juga, telah jelas di dalam al-Qur'an bahawa
Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan supaya kaum lelaki dan wanita
yang beriman supaya tunduk dari memandang kaum berlainan jantina
mereka, maka apatah lagi jika perbuatan bersalaman atau bersentuhan,
sedangkan perbuatan pandang memandang sahaja pun sudah ditegah.

12 – Tahlilan dan Kenduri Bacaan Doa Selamat

Amalan ini adalah merupakan bid'ah yang merupakan tokok tambah di dalam agama
yang kini sangat banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Untuk
penjelasan lanjut berkenaan amalan ini, silakan merujuk buku kecil
bertajuk "Yasinan dan Tahlilan Menurut Mazhab Syafi'e", tulisan Abu
Farouq Ustaz Rasul Dahri, terbitan Jahabersa.

13 – Sesi Nanyian-nyanyian, Muzik dan Kugiran

Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Akan muncul dari umatku beberapa kaum yang menghalalkan zina, sutera,
khamar (minuman keras), dan alat-alat muzik..." (Hadis Riwayat
al-Bukhari, no. 5590)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Mas'oud radhiyallahu 'anhu
menjelaskan dengan tegas bahawa muzik dan nyanyian adalah termasuk
perkara yang tidak berguna.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan persoalan muzik dan
nyanyi-nyanyian ini, dipersilakan merujuk kitab karya Imam Ibnul
Qayyim, bertajuk Ighaatsatul Lahfan atau Syaikh al-Albani, bertajuk
Tahriim Alath ath-Tharb, dan kitab syaikh al-Albani ini telah ada
terjemahannya.

14 – Permainan Kuda Kepang

Permainan kuda kepang adalah merupakan amalan yang bermula dari
masyarakat kaum Jawa. Ia kini agak popular di beberapa kawasan seperti
di di Johor dan Selangor.

Ada pun sebenarnya, sebahagian amalan yang dilakukan di dalam
permainan kuda kepang ini adalah perbuatan yang boleh membawa kepada
syirik. Ini adalah disebabkan di dalamnya mengandungi perbuatan
berhubungan atau berunding (mengadakan perjanjian) dengan jin dan
syaitan, selain pemujaan menggunakan ayam jantan dan asap kemenyan.

Imam Abil 'Izz al-Hanafi rahimahullah berkata:

"Cara manusia dalam mengambil kesenangan dari golongan jin adalah
dengan meminta dipenuhi keperluan-keperluannya, dipenuhi kemahuannya,
atau menerima berita-berita ghaib dari mereka, serta yang seumpamanya.
Sedangkan cara jin mengambil kesempatan dari manusia adalah dengan
pengagungan manusia terhadapnya, dengan permintaan tolong, dan
permohonan keselamatan, serta ketundukan manusia kepadanya." (Abdul
Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 98,
Pustaka at-Tibyan)

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia
meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki dari kalangan jin, maka
jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan." (Surah al-Jin,
72: 6)

Selain itu, permainan kuda kepang ini di dalamnya juga disertai dengan
pelbagai bunyi-bunyian tertentu yang menjurus kepada muzik terlarang.

15 – Bomoh Tolak Hujan

Terdapat beberapa kelompok dari kalangan masyarakat Melayu yang begitu
gemar mengambil atau mengupah bomoh-bomoh tertentu supaya menjampi
bagi tujuan menahan hujan dari turun. Selain itu, khidmat bomoh juga
turut digunakan bagi mengesan (meramal dengan ilmu ghaib) sama ada
pada tarikh atau hari-hari tertentu yang tidak akan turun hujan. Ini
dilakukan dengan harapan supaya tempat diadakan majlis walimah
sentiasa cerah (tidak hujan), sekaligus menjadikan majlis berjalan
lancar.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang
mengetahuinya kecuali Dia sendiri..." (Surah al-An'am, 6: 59)

Rasulullah Slallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan
apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam." (Hadis
Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

Imam ath-Thahawi rahimahullah berkata di dalam Kitab aqidahnya:

"Kita tidak mempercayai (ucapan) dukun mahu pun tukang ramal (bomoh),
demikian juga setiap mereka yang mengakui sesuatu yang menyelisihi
al-Kitab dan as-Sunnah serta ijma' kaum muslimin." (Imam ath-Thahawi,
Aqidah ath-Thahawiyah. Rujuk: Abdul Akhir Hammad al-Ghunaimi, Tahzib
Syarah ath-Thahawiyah, m/s. 90, Pustaka at-Tibyan)

Berkenaan turunnya hujan, banyak hadis-hadis Rasulullah Shallallahu
'alaihi wa Sallam menyarankan kita supaya bersyukur di atas sebab
turunnya hujan. Ini adalah sebagaimana di dalam doa yang dicontohkan
oleh beliau Shallallahu 'alaihi wa Sallam:

"Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat (untuk manusia, tanaman,
dan binatang)." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1032)

Dan penjelasan Rasulullah sendiri sebagaimana berikut:

"Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah." (Hadis
Riwayat al-Bukhari, no. 1038)

Dan sekiranya kita memiliki rasa bimbang dan takut hujan tersebut
memberikan gangguan atau sebarang kerosakan kepada kita, maka
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam juga telah mengajarkan kepada
kita bagaimanakah doa yang harus kita praktikkan.

Dari Anas radhiyallahu 'anhu, beliau menjelaskan doa tersebut
sebagaimana berikut:

اَللَّهُمّ حَوَاليَنْاَ وَلاَعَليَنْاَ، اَللَّهُمَّ عَلىَ اْلآكاَمِ
وَالظِّرَابِ، وَبُطُوْنِ اْلأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ

"Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami (di luar kawasan kami),
bukan untuk merosakkan kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran
tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang
menumbuhkan tumbuh-tumbuhan." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1013)

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka
(jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan
orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka
itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah
al-Baqarah, 2: 186)

Malah, berkenaan dengan hukum berjumpa dengan bomoh, pawang, atau pun
dukun yang dikatakan mampu menolak hujan dan memiliki kelebihan ilmu
ghaib tertentu ini, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam telah
menjelaskan kepada kita melalui sabdanya:

"Sesiapa yang mendatangi seorang peramal atau dukun lalu membenarkan
apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam." (Hadis
Riwayat al-Hakim 1/8. Dipersetujui oleh adz-Dzahabi)

16 – Mengambil, Melukis, dan Menggantung Gambar

Daripada Said bin Abu al-Hasan, "Ketika aku bersama Ibnu 'Abbas,
seorang lelaki datang dan berkata, "Wahai Ibnu Abbas, pendapatan
(periuk nasi) aku adalah dari hasil kerja tanganku dan kerjaku adalah
membuat gambar-gambar ini". Ibnu 'Abbas berkata, "Aku sekadar memberi
tahu apa yang aku dengar dari Rasulullah. Aku mendengar beliau
bersabda, "Sesiapa membuat gambar dia akan di-azab oleh Allah sehingga
dia mampu menghidupkannya dan sesungguhnya dia tidak akan berupaya
untuk menghidupkannya". Mendengarkan hal ini, lelaki itu menarik nafas
panjang (mengeluh) dan mukanya menjadi pucat. Ibnu 'Abbas berkata
padanya, "Jika kamu masih tetap mahu untuk membuat gambar-gambar, aku
nasihatkan agar kamu membuat gambar-gambar pokok (tumbuh-tumbuhan) dan
sebarang gambar yang bukan berupa dari makhluk bernyawa"." (Hadis
Riwayat Muslim, no. 2110)

Daripada Ibnu 'Abbas, "Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan
seorang sahabat yang pernah bersama dalam peperangan badar memberitahu
kepadaku bahawa Rasulullah berkata, "Malaikat tidak masuk ke dalam
rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar." Yang dia maksudkan
adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa." (Hadis Riwayat
al-Bukhari)

Secara ringkasnya:

1
– Dilarang melukis, menggantung, dan membuat gambar berupa makhluk
bernyawa seperti manusia atau haiwan, atau apa sahaja yang menunjukkan
ia sebagai makhluk bernyawa.

2 – Dibolehkan melukis atau membuat gambar selain makhluk bernyawa
seperti tumbuh-tumbuhan, air terjun, bangunan dan kenderaan..

3 – Pengambilan gambar hanya diizinkan untuk perkara yang benar-benar
mendesak lagi memerlukan seperti untuk tujuan passport.

4 – Tidak dibenarkan untuk mengambil gambar bagi tujuan
kenang-kenangan sebagaimana yang difatwakan oleh Syaikh Ibnu Bazz.

Untuk perbahasan lebih lanjut berkenaan dengan hukum mengambil,
melukis, menggantung, atau membuat gambar ini, dipersilakan merujuk
tulisan bertajuk, "Lukisan/Gambar: Larangan Membuat dan
Menggantungnya".

17 – Upacara Memotong Kek Perkahwinan

Perbuatan ini juga bukan berasal dari syari'at Islam, bahkan berasal
dari budaya orang kafir dari masyarakat Kristian. Malah ia juga
menyerupai atau mengambil syi'ar kaum Majusi (penyembah api) sekiranya
kek tersebut disertai dengan nyalaan lilin.

18 – Berbelanja Besar Untuk Set Pakaian

Di dalam Islam, kita dituntut untuk bersederhana di dalam segala
perkara yang kita laksanakan. Kita juga tidak digalakkan untuk
membazir dan berlebih-lebihan.

Suatu yang kini semakin menjadi trend di dalam masyarakat Melayu saat
ini adalah menetapkan bahawa pasangan pengantin di ketika majlis
perkahwinan mereka mestilah memakai pakaian yang sedondon seperti
memakai pakaian yang sama warnanya dengan pasangan, memakai pakaian
yang mesti dilengkapi dengan tanjak, keris, dan bunga-bungaan. Jika
keadaan tersebut berlaku sebaliknya, di mana pasangan pengantin tidak
mengenakan set pakaian seperti itu, maka mereka pun akan dilihat
sebagai janggal dan diejek sebagai tidak mengenal atau tidak
menghormati adat.

Ada pun sebenarnya penetapan seperti ini adalah termasuk ke dalam perbuatan
berlebih-lebihan dan boleh menjurus kepada larangan agama. Cukuplah
sekadar berpakaian dengan pakaian yang melambangkan akhlak, imej, dan
nilai-nilai Islam yang murni. Dan Islam itu bukanlah suatu agama yang
memberat-beratkan umatnya.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk
menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa
itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari
tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat."
(Surah al-A'raaf, 7: 26)

"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
(Surah al-A'raaf, 7: 31)

Demikianlah beberapa contoh perkara-perkara mungkar dan tokok tambah
yang pada masa
ini begitu popular dilakukan (dipraktikkan) di dalam masyarakat umat
Islam Melayu di kebanyakkan majlis-majlis perkahwinan mereka.. Walau
bagaimana ia berlaku dan dipopularkan sekali pun, ia tetap tidak
dibenarkan menandingi apa yang telah disyari'atkan dan dicontohkan
oleh Nabi kita, Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Dan
sesungguhnya agama ini telah pun sempurna tanpa perlu ditokok tambah
dengan pelbagai
bentuk kehendak citarasa serta nafsu manusia.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku
cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi
agama bagimu." (Surah al-Ma'idah, 5: 3)

Dan suatu yang paling penting di dalam beragama ini, bukanlah
kata-kata dan perbuatan manusia yang menjadi ukuran, tetapi yang perlu
kita tekankan adalah sejauh mana kita teguh di dalam sebuah pendirian
di atas sebuah kebenaran yang ditegakkan di atas dalil-dalil dari
perkataan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan petunjuk Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (al-Qur'an) sebagai kalimat yang
benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan
Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu
menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka
akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah
mengikuti
persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap
Allah)." (Surah al-An'am, 6: 115-116)

Sebagai penutup, sekali lagi penulis jelaskan bahawa sebenar-benar
perkataan adalah perkataan Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan sebaik-baik
petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu 'alaihi wa Sallam. Dan
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu (benar-benar) mencintai
Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni
dosa-dosamu". Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Ali
Imran, 3: 31)

Dan,

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan
yang baik bagimu (iaitu)
bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat
dan dia banyak mengingat Allah." (Surah al-Ahzaab, 33: 21)

Bersama-samalah kita mencari redha dari Allah sebagaimana cara yang
telah Dia tunjukkan
melalui Kitab-Nya dan Rasul-Nya. Mulakanlah alam rumahtangga kita di
atas keredhaan-Nya dan hindarilah dari kemurkaan-Nya.

Wallahu a'lam...

0 komentar: