Join ViralMoneyList.com

Isnin, 22 September 2008

0

Tanda² Sakit - This is Good..!

Risalah ini bagus untuk anda semua....... .....
Tanda-tanda sakit yang selalu kita rasakan berhubung kait dengan fungsi
badan yang lain. Bacalah untuk menilai sejauh mana kesihatan diri anda :-

1. MATA (Bertindak balas dengan keadaan hati).


i) Mata menjadi merah : Hati mengandungi paras toksin yang tinggi.
Mata menjadi merah menandakan badan kita sedang dalam proses pembuangan
toksin.
ii) Mata menjadi kabur : Sering berlaku pada waktu pagi. Menandakan
proses penyeimbangan hati sedang berlaku.
iii) Keluar tahi mata : Fungsi hati lemah, pembuangan toksin sedang
berlaku. Ini juga menunjukkan badan mengandungi asid berlebihan.
iv) Keluar air mata : Gangguan emosi yang bersangkut dengan hati atau
bebanan kerja
v) Ketegangan mata dan kelopak : Tekanan perasaan kerana tidak puas hati
atau bebanan yang berat.

2. HIDUNG
Hidung mempunyai hubungan rapat dengan paru-paru dan kerongkong.
i) Selesema : Proses pembuangan toksin di bahagian kerongkong. Badan
mengandungi asid berlebihan (biasanya suhu badan meningkat).
ii) Hidung sumbat : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan
Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.
iii) Bersin
a. Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

3. Batuk
a. Batuk keluar kahak : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Batuk tanpa kahak : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan.
Biasanya kahak pekat keluar selepas beberapa hari memakan RG..
c. Batuk dan berasa gatal di kerongkong : Proses membuang toksin di
bahagian kerongkong dan paru-paru, biasanya berlaku pada orang yang
banyak merokok atau terdedah kepada udara yang tercemar.


4. KERONGKONG
i) Kerongkong kering. Proses membuang toksin sedang berlaku
di seluruh badan. Ini adalah tanda bahawa badan kita memerlukan banyak
air untuk membuang toksin.
ii) Sakit kerongkong. Seperti di atas. Paras keracunan lebih serius.

5. BIBIR (Berkaitan dengan fungsi sistem penghadaman)
i) Bibir pucat
a. Sistem penghadaman yang lemah.
b. Perut mengandungi angin.
c. Kurang darah yang disebabkan oleh sistem penghadaman yang kurang
sempurna dan mengakibatkan kekurangan zat besi. Sepatutnya diperkuatkan
fungsi penghadaman dahulu dengan RG sebelum memakan zat besi.
ii) Bibir kering dan pecah. Perut mengandungi banyak bahan toksin.

6. MULUT DAN LIDAH : Berkaitan dengan fungsi jantung dan sistem
pengedaran darah.

i) Lidah atau gusi bengkak, sakit : Menunjukkan jantung mempunyai
masalah, seperti lemak yang berlebihan, injap menjadi lemah, saluran
koronari tersumbat dan lain-lain lagi.
ii) Lidah, tisu mulut atau gusi menjadi pecah-pecah (ulser). Menandakan
darah mengandungi asid berlebihan.
iii) Mulut berbau busuk . Proses penyeimbangan fungsi perut untuk
pembuangan toksin.

7. TELINGA: Berkaitan dengan buah pinggang.
i) Telinga terasa tersumbat : Buah pinggang mengandungi toksin
berlebihan.
ii) Telinga berdengung : Sedang merawat buah pinggang yang lemah.Biasanya
tapak kaki terasa sakit ketika bangun pagi dan sakit itu hilang setelah
berjalan-jalan.


8. KULIT Berpeluh :
a) Peluh masin : Badan mengandungi lebihan asid urik.
b) Peluh berbau : Badan menyingkirkan toksin melalui perpeluhan.

9. RUAM DAN BISUL :

Badan menyingkirkan toksin yang berlemak dan toksin yang tidak larut dalam air.
10. KULIT GATAL DENGAN RUAM :
Proses menyingkirkan toksin melalui kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang mengandungi bahan kimia.
11. KULIT PECAH DAN BERAIR :
Proses pembuangan toksin yang larut dalam air.Sapukan serbuk Ganoderma pada kulit berkenaan.
12. RAMBUT GUGUR :
Menandakan fungsi buah pinggang yang lemah. Selepas proses gugur, rambut akan tumbuh semula dengan lebih sihat dan subur.

13. SENDI-SENDI, TANGAN DAN KAKI
a. Sakit Sendi
i) Rasa panas. Menunjukkan terdapat luka di bahagian sendi berkenaan dan
tanda- tanda penyakit pirai (gout).
ii) Tidak rasa panas .Tanda-tanda sakit lenguh (rheumatism) .
iii) Sakit di bahagian bahu. Menandakan saluran darah telah menjadi keras
dan fungsi metabolisme tidak seimbang.
b) KEBAS TANGAN :

Pengaliran darah di bahagian atas badan tidak lancar.

c) KEBAS TANGAN KIRI DAN LENGAN :
Tanda-tanda lemah atau sakit jantung. Jika rasa kebas menjadi sakit di bahagian lengan dan kekal di sana, ini menandakan serangan sakit jantung mungkin berlaku.

d) KEBAS KAKI :

Pengaliran darah di bahagian bawah badan tidak lancar.

e) SAKIT TAPAK KAKI :
Menandakan buah pinggang lemah. Biasanya disebabkan oleh kekurangan senaman dan duduk terlalu lama.
f) SAKIT TUMIT KAKI :
Menunjukkan kelemahan fungsi alat kelamin.

g) RASA PANAS DI TAPAK KAKI :
Penyeimbangan fungsi buah pinggang akibat lemah tenaga batin.

h) GATAL DI CELAH-CELAH JARI KAKI :
Menunjukkan tanda awal penyakit kaki busuk (Hong Kong Foot).


14. TANDA-TANDA DALAMAN

A. KEPALA.
Secara amnya, segala tindak balas yang berlaku di bahagian kepala
mempunyai kaitan dengan sistem pengaliran darah, jantung dan saraf otak.

B. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN DEPAN KEPALA
Menandakan sakit tekanan jiwa (neurosis) akibat bebanan mental dan banyak berfikir.

C. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN BELAKANG KEPALA
i) Bahagian atas . Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi.
ii) Bahagian bawah (tengkuk). Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi
atau tekanan darah.
D. SAKIT KEPALA DAN RASA GAS KELUAR DARI TELINGA :

Menandakan penyakit migrain.

E. BISUL TERJADI DI KEPALA
Tanda pembuangan toksin sedang berlaku. Kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit migrain.

F. RASA PENING YANG MEMUSING
Tanda kurang darah atau pengaliran darah tidak lancar.

15. MULUT/KERONGKONG/ LIDAH
a. LOYA/MUNTAH

Tanda penyakit lelah. Pembuangan bahan toksik dari bahagian perut.
b. MUNTAH DARAH
i) Darah merah : Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian kerongkong
dan
ii) Darah hitam: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian perut;
misalnya penyakit ulser.

16. LIDAH RASA TEGANG DAN PENDEK :
Tanda sakit jantung.

17. KELUAR AIR LIUR YANG PEKAT .
Proses pembuangan toksin dari kerongkong akibat jangkitan kuman

18. KENCING
a) KERAP KENCING ;

Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran yang
b) AIR KENCING BERKAPUR

Menunjukkan penyakit batu karang dalam buah pinggang.

c) AIR KENCING BERMINYAK :

Menunjukkan buahpinggang mengandungi kotoran berlemak.
d) AIR KENCING PEKAT BERWARNA COKLAT :

Menandakan proses pembuangan toksin sedang berlaku.
e) AIR KENCING BERDARAH :

Penyakit batu karang atau buah pinggang luka.

19. BUANG AIR BESAR
a) CIRIT-BIRIT/ KERAP BUANG AIR BESAR :

Membersihkan kotoran/keracunan dari usus besar. Cirit-birit dengan serta merta selepas memakan RG, menandakan penyakit barah di bahagian usus besar.
b) SEMBELIT:

Membersihkan toksin dari usus kecil.

c) NAJIS BERDARAH
i) Darah merah : Masalah penyakit buasir atau barah di bahagian usus.
ii) Darah hitam: Masalah penyakit ulser perut.
d) NAJIS BERWARNA HITAM : Menunjukkan proses pembuangan toksin di
bahagian usus sedang berlaku.

20. BADAN
a) RASA SAKIT :

Secara amnya, segala kesakitan badan adalah disebabkan saluran darah.
i) Sakit menyucuk :

Proses menyeimbangkan urat saraf.
ii) Sakit sengal:

Menandakan luka di dalam badan.
iii) Sakit menyentap:

Proses menyeimbangkan urat saraf yang berkaitan
dengan organ-organ badan...
iv) Sakit menegang :

Proses melancarkan pengaliran darah.
b) BADAN TERASA BERAT/ MALAS/ LENGUH .

Badan mengandungi asid yang berlebihan. Proses penyeimbangan
c) BADAN TERASA PANAS .

Badan mengandungi asid yang berlebihan. Ini menandakan badan memerlukan banyak air untuk menjalankan proses pembuangan toksin.
d) BADAN TERASA RINGAN :

Menandakan badan segar dan proses awet muda sedang berlaku.
21. RASA TAKUT MENGEJUT :
Lemah fungsi buah pinggang. Tenaga batin lemah.

22. CEPAT NAIK DARAH/MARAH :
Fungsi hati lemah. Tekanan darah tinggi.

23. RASA BIMBANG DAN TAKUT :
Sistem paru-paru yang lemah.

24. RASA SERONOK ATAU BIMBANG TANPA SEBAB :
i) Sistem jantung yang lemah.
ii) Sistem saraf otak yang lemah.
iii) Masalah pengaliran darah.

25. SUKA BERFIKIR DAN BERKHAYAL :

Sistem penghadaman yang lemah.

Ahad, 14 September 2008

0

Solat Tarawih Menurut Sunnah Nabi

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Padanya terdapat malam lailatulqadar iaitu satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan. Padanyalah diturunkan al-Qur’an yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam. Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” – Surah al-Qadr: 1-5.

Pada bulan Ramadan ini jugalah Allah melimpahkan kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang lain. Inilah bulan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Sabda Rasulullah s.a.w. : "Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1898.

Selanjutnya baginda bersabda: "Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1899.

Oleh itu, amat rugi sekiranya amalan ibadah yang kita kerjakan pada bulan yang mulia ini tidak diterima oleh Allah kerana tidak menepati kehendak-Nya. Untuk memastikan segala amal ibadah kita di terima oleh Allah, ia perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu:

1. Amal ibadah hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah. Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah tidak bercampur dengan unsur syirik dan khurafat.

2. Amal ibadah itu juga hendaklah dikerjakan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w yang sahih. Haram sama sekali mencampur-adukkan ibadah dengan perkara bid'ah.

Solat tarawih merupakan satu sunnah yang amat dituntut bagi seluruh umat Islam untuk mengerjakannya pada malam bulan Ramadan. Sabda baginda : "Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Berikut adalah tatacara mengerjakan solat tarawih menurut sunnah Nabi s.a.w. :

1. Waktu untuk mengerjakan solat tarawih.

Solat tarawih adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam pada bulan Ramadan, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun, waktu paling afdal untuk dilaksanakan solat tarawih adalah sepertiga malam yang terakhir, iaitu bermula dari pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu subuh. Sabda Rasulullah s.a.w: "Tuhan kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku pasti Aku akan makbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan mengampunnya." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1145

Walau bagaimana pun, sekiranya dilakukan secara berjemaah di masjid, umat Islam diperintahkan mengikut perbuatan imam serta waktu yang telah ditetapkan oleh pihak masjid. Tetapi, ada baiknya juga sekiranya masjid-masjid di Malaysia mempelbagaikan sunnah Nabi
s.a.w berkaitan solat tarawih. Setidak-tidaknya sekali-sekala mengerjakan majlis solat tarawih pada sepertiga malam yang akhir. Solat sunat tarawih ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat witir sebagai penutupnya.

2. Jumlah rakaat solat tarawih.

Cara mengerjakan qiyam Ramadan ini adalah sama dengan qiamullail. Ia boleh dilakukan dengan dua rakaat dua rakaat dan ia tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah, ia juga boleh digabungkan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir. Abdullah bin Umar r.a berkata: "Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah cara melakukan solat malam? Baginda bersabda: Dua rakaat dua rakaat. Apabila engkau bimbang (waktu solat Subuh akan masuk), laksanakan terus solat witir sebanyak satu rakaat." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1137.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h menyatakan di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jilid 22, muka surat 272:

"Mengenai solat qiyam Ramadan (solat tarawih), Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan jumlah rakaatnya. Namun, baginda sendiri tidak pernah mengerjakannya melebihi 11 atau 13 rakaat sama ada pada bulan Ramadan atau bulan lain. Baginda melakukan solat qiyam dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila Umar r.a mengumpulkan orang ramai untuk melakukan solat tarawih secara berjemaah yang diimami oleh Ubai bin Ka’ab r.a, dia (Ubai) telah melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat witir tiga rakaat. Beliau melakukan begitu sambil meringankan bacaan al-Quran selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia lebih ringan (tidak terlalu panjang solatnya) berbanding solat satu rakaat yang dipanjangkan rakaatnya. Setelah itu sebahagian generasi salaf melaksanakan solat tarawih sebanyak 40 rakaat diikuti solat witir sebanyak tiga rakaat. Sebahagian yang lain melaksanakannya sebanyak 36 rakaat diiuti tiga rakaat witir. Semua ini memang telah berlaku. Oleh itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadan dengan apa sahaja jumlah rakaat, dia diira telah berbuat kebaikan. Paling afdal, perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada keadaan orang-orang yang mengerjakan solat itu. Jika keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat tarawih dengan lama, ketika itu lebih afdal melaksanakan solat tarawih dengan 10 rakaat diikuti tiga rakaat witir sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan salafussoleh.
Tetapi, jika tidak mungkin melaksanakan sedemikian, solat tarawih yang dilakukan sebanyak 20 rakaat lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara sepuluh rakaat dan empat puluh rakaat. Manakala jika solat tarawih dilaksanakan sebanyak 40 rakaat atau lebih, terdapat perbezaan ulama mengenainya sama ada dibolehkan atau dimakruhkan. Hal ini ditegaskan oleh beberapa orang imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hanbal. Sesiapa yang beranggapan bahawa solat qiyam Ramadan (solat tarawih) mempunyai ketetapan jumlah rakaatnya daripada Nabi s.a.w tanpa boleh ditambah atau dikurangi jumlahnya, sebenarnya dia telah membuat satu kesilapan."

Diharapkan kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h ini akan meredakan polemik yang sering berlaku di Malaysia tentang jumlah rakaat solat tarawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Ternyata kedua-duanya adalah benar di sisi syarak. Namun begitu hendaklah ianya dilaksanakan dengan thumakninah, bacaan yang tartil dan tidak tergesa-gesa. Tindakan sesetengah masjid yang ingin mengejar 20 rakaat namun solat tarawih tersebut dikerjakan secara gopoh-gapah adalah tidak wajar. Ingatlah bahawa rasulullah s.a.w. pernah menegur seorang sahabat yang melakukan solat secara gopoh-gapah dan beginda menyuruhnya untuk mengulangi solat.

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.” Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi s.a.w., maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an. Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri.Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.

Hanya sahaja Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat tarawih dan solat qiamullail sebanyak 11 atau 13 rakaat sebagaimana hadis-hadis dibawah.

Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada Aisyah r.a tentang solat malam Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Aisyah menjawab: "Rasulullah s.a.w tidak pernah menambah rakaat solatnya di bulan Ramadan dan atau bulan lain melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir)." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat tarawih ini juga boleh dikerjakan empat rakaat-empat rakaat. Ianya boleh dikerjakan sebagaimana tatacara solat fardhu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyat dan boleh juga dikerjakan sebanyak empat rakaat sekaligus dengan hanya satu tahiyat sahaja. Sekiranya ingin dilaksanakan dengan hanya satu tahiyat maka setiap rakaat hendaklah dibaca surah-surah atau ayat-ayat dari al-Qur’an.

Aisyah r.a berkata:

"Biasanya Nabi s.a.w solat di malam hari sebanyak 13 rakaat termasuk witir dan dua rakaat solat sunat fajar (solat sunat sebelum fardu Subuh)." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1140.

3. Solat tarawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau bersendirian.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda pernah mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam. Kemudian baginda meninggalkannya lalu solat tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana takut ianya akan diwajibkan. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a: Bahawasanya Nabi s.a.w. bersolat di masjid, maka bersolat pulalah bersama-samanya beberapa orang. Pada malam yang kedua baginda bersolat lagi, maka banyaklah orang-orang yang mengikuti solatnya. Kemudian orang ramai berkumpul di masjid pada malam yang ketiga atau yang keempat, tetapi Nabi s.a.w. bersabda: Aku telah melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada yang menghalangi aku keluar kepada kamu kecuali kerana aku takut ia diwajibkan ke atas kamu. Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadhan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 1129

Bersolat tarawih secara bersendirian ini kekal sehingga pada zaman ‘Umar lalu beliau mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah. Daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Qari yang berkata: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama ‘Umar al-Khaththab r.a ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka’ab. Kemudian aku keluar pada malam lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (yakni Ubai bin Ka’ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bidaah adalah perkara ini, sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 2010

Hadis-hadis di atas membuktikan Rasulullah s.a.w pernah melaksanakan solat tarawih secara berjemaah dan juga bersendirian. Oleh itu, kedua-duanya cara solat sama ada secara berjemaah atau sendirian adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Namun demikian menerusi hadis di bawah, Rasulullah s.a.w menegaskan kelebihan mengerjakan solat tarawih secara berjemaah sehingga selesai umpama mendapat ganjaran solat sepanjang malam dan inilah yang sewajarnya cuba kita usahakan untuk mendapatnya pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Abu Dzar al-Ghafiri r.a berkata: "Kami berpuasa bersama Rasulullah s.a.w pada bulan Ramadan. Baginda tidak mengerjakan solat (tarawih) bersama kami sehingga tinggal lagi tujuh malam terakhir (bulan Ramadan). Lalu (pada malam itu) baginda mengerjakan solat (tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian, baginda tidak keluar mengerjakan solat (tarawih) bersama kami pada malam yang keenam (sebelum akhir Ramadan). Kemudian, baginda mengerjakan solat (tarawih) bersama kami pada pada malam kelima (sebelum akhir Ramadan) sehingga seperdua malam. Aku (Abu Dzar) berkata: Ya Rasulullah! Alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami untuk mengerjakan solat pada sisa-sisa malam ini. Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya sesiapa yang mengerjakan solat tarawih bersama imam sehingga selesai, Allah menulis (ganjaran) baginya umpama mengerjakan solat sepanjang malam." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 1587.

4. Bacaan dalam solat tarawih

Rasulullah s.a.w. tidak menetapkan bacaan ayat-ayat atau surah-surah yang tertentu pada rakaat-rakaat yang tertentu mahupun pada malam-malam yang tertentu untuk solat tarawih ini. Dalam hal ini imam diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memilih surah-surah yang hendak dibaca sesuai dengan kemampuannya dan keadaan jemaah yang mengikutinya. Sekiranya para jemaah mempu serta berkeinginan kepada bacaan yang panjang maka hendaklah solat tarawih tersebut dipanjangkan bacaannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh generasi al-Salafussoleh. Namun demikian sekiranya solat tarawih tersebut dididirikan dengan bacaan yang panjang akan menyebabkan para jemaah lari dari solat jemaah maka hendaklah imam tersebut meringankan
bacaannya.

5. Berzikir di antara solat-solat tarawih

Mereka yang mengerjakan solat tarawih ini akan berehat untuk menghilangkan penat diselang-selang solat tersebut. Dari tatacara inilah solat qiyam ramadhan mendapat gelaran tarawih. Para ulamak sepakat tentang disyari’atkan untuk istirehat setelah selesai mengerjakan empat rakaat. Amalan inilah yang telah diwarisi daripada generasi al-Salafussoleh dan ianya berkemungkinan didasari daripada perkataan ‘Aisyah r.a ketika menggambarkan tatacara solat tarawih Rasulullah s.a.w.: “Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir)." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.

Tidak disyari’atkan ada bacaan zikir-zikir, selawat-selawat mahupun doa-doa yang tertentu semasa waktu istirehat ini. Namun demikan sewajarnya tempoh tersebut dipergunakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, zikir-zikir, doa-doa dan selawat yang sabit daripada hadis-hadis Nabi secara bebas tanpa penetapan bacaan atau kaifiat yang tertentu. Hanya sahaja yang lebih menepati sunnah adalah zikir, doa atau selawat tersebut dilakukan secara sendirian dan dengan suara yang perlahan. Tatacara berzikir sebeginilah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya:

"Sebut serta ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri disertai perasaan takut (melanggar perintahnya) di samping tidak menguatkan suara, iaitu di pada waktu pagi dan petang. Janganlah engkau termasuk orang-orang yang lalai." – Surah al-A'raaf:205.

Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa Allah sendiri telah memerintahkan kita sebagai hamba-Nya agar berzikir kepada-Nya dengan suara yang perlahan atau untuk lebih spesifik hanya diri sendiri yang mendengar zikir tersebut.

Selanjutnya Allah S.W.T. berfirman: "Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (dengan mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila Dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu, mereka hendaklah menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan mereka hendaklah beriman kepada-KU supaya mereka menjadi baik serta betul." – Surah al-Baqarah: 186.

Mengenai sebab penurunan ayat ini, al-Qurtubi telah menyatakan di dalam kitabnya Tafsir al-Qurthubi, jilid 1, muka surat 219:

Daripada al-Sholah bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi, daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah s.a.w:

“Wahai Rasulullah! Apakah Rabb kami berada dekat dengan kami sehingga memadai hanya kami bermunajat (berbisik) kepada-Nya atau Dia berada jauh sehingga kami perlu menyeru-Nya (dengan suara kuat)? Baginda hanya berdiam diri. Tidak berapa lama kemudian, Allah turunkan ayat di atas 'wa idza sa’alaka ‘ibadi ‘anni fainni qorib'. Setelah itu, dinyatakan pula satu riwayat daripada Ahmad daripada Abu Musa al-Asya’ari r.a, dia telah berkata: Kami pernah bersama Nabi s.a.w dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau menurun di suatu lembah, kami akan mengeraskan suara melaungkan takbir. Lalu baginda mendekati kami seraya bersabda: “Wahai sekalian manusia! Kasihanilah diri kamu semua kerana kamu tidak berdoa kepada sesuatu yang tuli dan bukan kepada sesuatu yang berada jauh. Sesungguhnya yang kamu seru itu lebih dekat berbanding seseorang antara kamu daripada tengkuk unta yang dinaikinya. Wahai Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku ajarkan kepadamu satu kalimah daripada khazanah syurga, iaitu la haula wa la quwwata illa billah."

Demikianlah beberapa tatacara solat tarawih yangdiambil dari hadis-hadis Rasulullah. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi kita semua untuk melaksanakan solat tarawih ini sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda. Sesungguhnya mencontohi solat Rasulullah s.a.w. telah diwajibkan oleh baginda sendiri sebagaimana sabdanya: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 631.

Apatah lagi mencontohi Rasulullah s.a.w. adalah bukti yang jelas yang menunjukkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. - ali ‘Imraan (3) : 31

Semoga dengan kesungguhan kita dalam mencontohi Rasulullah s.a.w kita akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan segala dosa kita diampunkan oleh-Nya.

0

Kesilapan Muslim dalam Bulan Ramadhan

Kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).

Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segalasolat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath
al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat".
(Riwayat al-Bukhari)

8 ) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinyamenambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkanproduktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai
Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)*

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW
telah menyebut :- Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang
adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih ) Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)*

Khamis, 11 September 2008

0

Puasa Yang Berkat

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga."

Riwayat Ibnu Majah

Pengajaran Hadis:
i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.

ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:

a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.

b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.

c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.

d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.

iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.

v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Ganjaran Puasa Ramadhan

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:" Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk."

Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Puasa merupakan perkara 'dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.

iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.

iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.
Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat.Tak guna ada hati kalau tak tahu menilai..... ..

Rabu, 10 September 2008

0

Mukjizat di sebalik BISMILLAH

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz
"BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM" yang bermaksud
"Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH.
Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah
BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH
tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

2. "BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka
apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH.

Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak
BISMILLAH diturunkan kepada Adam." (Hadith Qudsi)

3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka
semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut
bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar
semua syaitan.

4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu
dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya
dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan
Allah beri berkat ke atasnya.

5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka
bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6. Jumlah huruf dalam BISMILLAH ada 19 huruf dan malaikat
penjaga neraka ada 19
" Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat)"
(Surah Al-Muddaththir : Ayat 30)
Ibnu Mas'ud berkata: "Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19
malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari."

7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap
huruf berkata, "Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah
kekuatannya dan kamilah kehebatannya. "

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah
akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan
segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka
akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak
tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan
kebakaran, maut mendadak dan bala.

11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan
orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim
serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Isnin, 8 September 2008

0

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Ust. Hj. Zaharuddin Bin Hj. Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa . Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Ahad, 7 September 2008

0

BERSAHUR CARA RASULULLAH


Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." – Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasaahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah: 187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920.

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

0

Kesan Zikir Terhadap Otak Manusia

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabk an untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.


Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Sabtu, 6 September 2008

0

doa ramadhan malaikat jibril : benarkah ia wujud?

Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya saya akan menerima mesej yang difowardkan melalui yahoo mesengger tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam serta para Sahabat. Hadis tersebut berbunyi:

Malaikat jibril Menjelang Ramadhan "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:

  • Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada)
  • Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri
  • Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya." Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali.

Saya sudah berusaha sedaya mampu saya mencarinya di dalam kitab-kitab hadis namun tidak saya temui. Malah kitab-kitab fiqh juga tidak membahaskan mengenai perlunya meminta maaf sebelum masuknya bulan Ramadhan bagi mengelakkan diabaikan puasa kita oleh Allah Subhana wa Ta'ala. Kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda" atau "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan itu dan ini".

Untuk lebih memahami hal berkaitan hadis dan larangan menyebarkan hadis yang tidak sahih atau diragui kesahihannya oleh penyebar, sila rujuk tulisan saya yang bertajuk Berdusta Ke Atas Rasulullah.

Saya tidak berani meletakkan darjat hadis tersebut (samada sahih, hasan, dhaif atau palsu) kerana biarlah mereka yang lebih alim dalam bidang hadis melakukannya. Cuma yang boleh saya katakan, saya (dan beberapa orang yang turut pernah menyemaknya) tidak menemui sebarang tanda yang boleh membawa kita menilai darjatnya. Sesiapa yang menyatakan ia sahih, sila kemukakan hujah dan bukti dan sampaikan pada saya agar saya boleh mendapat manfaat ilmu itu.

قُلْ هَاتُواْ بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
Katakanlah: Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.[al-Baqarah 2:111]

Adapun terdapat hadis yang mirip dengan hadis yang diforwardkan itu. Hadisnya adalah seperti berikut. Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu'anhuma:
أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )

Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, "Amin, amin, amin".
Para sahabat bertanya."Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?" Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : 'Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!', maka aku berkata : 'Amin'.

Kemudian Jibril berkata lagi. 'Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!' maka kukatakan, 'Amin' ".

Kemudian Jibril berkata lagi.'Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!' maka kukatakan, 'Amin'." [Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644]

Ianya seakan-akan sama tetapi matan (isi kandungan) hadis tersebut nyata berbeza dan hadis ini sememangnya masyhur di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang Ramadhan. Namun kini nampaknya hadis yang tidak diketahui sahih ataupun tidak itu pula telah menjadi lebih terkenal. Saya menulis bukan untuk membahaskan darjat hadis tersebut di sini tetapi fokus saya adalah berharap agar pembaca dalam membetulkan sikap dalam berinteraksi dengan hadis terutama yang kita tidak tahu sumbernya.

SIKAP KITA VS SIKAP PARA SAHABAT BERINTERAKSI DENGAN HADIS
Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati. Berbeza sekali dengan kita pada hari ini, dengar sahaja "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda" atau "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melakukan itu dan ini" terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati. Mari kita lihat satu contoh sikap berhati-hati para Sahabat apabila berinteraksi dengan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Daripada Abu Sa'id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa'id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata:

Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: "Mengapa engkau pulang?" Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

إذا استأذن أحدكم ثلاثاً فلم يؤذن له فليرجع
"Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang"

Abu Sa'id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Lalu Ubay bin Ka'ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda sedemikian. [Sahih al-Bukhari – no: 5891]

Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. [Manna' Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]
Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]

BERDIAM DIRI LEBIH BAIK
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. [Sahih Muslim - hadis no: 5]
Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:

[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.
[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .
[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.

Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.Ingatlah Firman Allah Subhana wa Ta'ala:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra' 17:36]