Join ViralMoneyList.com

Khamis, 30 April 2009

Mengapa Muslim biarkan hati mati

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat
paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat
penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara
dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi
tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya
membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir
penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita
diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya
daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang
dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan
menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan
bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan
kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya
setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam
itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu
akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis
riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Sebenarnya ayat-ayat
Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi
kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka
kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras,
kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan
menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak
mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun
ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada
daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian selepas itu,
hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada
hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai
daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu
keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke
bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai
daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras
itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana
amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras
daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah
daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku
kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana
dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah
akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati.
Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada
hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:
* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak
mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang
keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh
Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang
nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani
dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak
makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja
akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang
dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak
menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan
bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati
mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah
itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan
anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta
benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang
selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat
88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak
bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan
keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi
tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di
sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga
segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa
dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak
menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
* Zuhud dengan dunia
* Zikrullah
* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah. - lanh

0 komentar: