Join ViralMoneyList.com

Isnin, 8 Jun 2009

Kelapa tua

Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua
itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup
manusia.

Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang.
Kelapa tua tidak pernah menjadi topic perbincangan. Tidak pernah
dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini
mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan
menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak
mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai
bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya
sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang
tinggi itu, datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang.
Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa
kena jolok-jolok macamtu.

Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka
gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula
bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai
empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke
tanah. Waduh! Kalau calang-calang buah, boleh berkecai. Kalau kepala
orang, boleh bersepai otak.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru
muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang
sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk.Proses ini bukan sekadar
sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam
kulit sabutnya.Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan.
Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai
tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya.
Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang
seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan
parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya.
Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan
terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini,
maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru
permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti.

Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan
isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung,
diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang.
Kadang-kadang di bakar. Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi.
Yang tinggal hanyalahisinya yang sudah lumat dikukur dan diparut.

Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu,
diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak
dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan.
Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan
bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan
rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah
santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga
terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak
keseluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:

"Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?"

Orang di dapur hanya menjawab, "Gulai ikan bawal."Gulai dapat nama.

Ikan bawal dapat nama.Orang kata, "Oh! Sedap gulai ni.""Oh! Sedap ikan
bawal ni."

0 komentar: