Join ViralMoneyList.com

Selasa, 16 Jun 2009

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W.

Khutbah ini disampaikan pada 9hb.Zulhijah Tahun 10 Hijrah di Lembah
Uranah, Gunung Arafah.

Di Namira, sebuah desa sebelah timur 'Arafat, telah pula dipasang
sebuah kemah buat Baginda Nabi s.a.w, atas permintaannya. Bila
matahari sudah tergelincir, dimintanya untanya al-Qashwa, dan ia
berangkat lagi sampai di perut wadi di bilangan ''Urana. Di tempat
itulah manusia dipanggilnya, sambil ia masih di atas unta, dengan
suara lantang; tapi sungguhpun begitu masih diulang oleh Rabi'a b.
Umayya b. Khalaf. Setelah mengucapkan syukur dan puji kepada Allah
s.w.t. dengan berhenti pada setiap anak kalimat ia berkata,

''Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku
tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua
selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada
hari ini.

''Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim
sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu
kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar
orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya
kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas
segala amalan kamu. Allah s.w.t. telah mengharamkan riba, oleh itu
segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

''Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia
telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,
maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.

''Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu
mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk
diberi makan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik berlemah-lembutlah terhadap mereka
kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan
dilarang melakukan zina.

''Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,
sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah
di bulan Ramadhan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu.
Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa
setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kemu semua
adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya
kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahwa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.
Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.

''Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang
selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku
sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti
kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
Al Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula
kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku
dari mereka yang terus mendengar dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu
kepada hamba-hambaMu...

Setelah sampai pada penutup kata-katanya itu ia berkata lagi:

''Ya Allah! Sudahkah kusampaikan?!''

Maka serentak dari segenap penjuru orang menjawab" ''Ya!''

Abu Bakar ketika mendengarkan ayat itu ia menangis, ia merasa, bahawa
risalah Nabi SAW sudah selesai dan sudah dekat pula saatnya Nabi SAW
hendak menghadap Tuhan.

Setelah meninggalkan Arafah malam itu Nabi SAW bermalam di Muzdalifa.
Pagi-pagi ia bangun dan turun ke Masy'ar'l-Haram. Kemudian ia pergi ke
Mina dan dalam perjalanan itu ia melemparkan batu-batu kerikil. Bila
sudah sampai di kemah ia menyembelih 63 ekor unta, setiap seekor unta
untuk satu tahun umurnya, dan yang selebihnya dari jumlah seratus ekor
unta kurban yang dibawa Nabi SAW sewaktu keluar dari Madinah -
disembelih Oleh Hazrat Ali ra. Kemudian Nabi SAW mencukur rambut dan
menyelesaikan ibadah hajinya.

Kita...sebagai umat Baginda SAW Seharusnya Mengamalkan pesanan Baginda
SAW, Dan Meninggalkan Segala Larangan Baginda SAW, Marilah kita semua
mengucap Selawat Atas Nabi SAW dan Keluarga serta Sahabatnya.

Shalawat dan salam dilimpahkan Tuhan Atas nabi Muhammad pesuruh Allah
Shalawat dan salam dilimpahkan Tuhan Atas nabi Muhammad kekasih Allah.

0 komentar: