Join ViralMoneyList.com

Jumaat, 9 Mei 2008

Siti Fatimah di benar murtad

PULAU PINANG 8 Mei - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Abdullah, 39, untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad).

Ini merupakan kes pertama di negara ini melibatkan mualaf yang masih hidup semenjak Mahkamah Syariah diberi kuasa mengendali kes sebegini.

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulu, Othman Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Hakim Syarie Perlis, memutuskan demikian setelah mendapati plaintif tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998.

Sehubungan itu, Hakim Othman memerintahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) membatalkan sijil memeluk Islam wanita itu.

Untuk menukar status dalam kad pengenalan, Siti Fatimah diminta menguruskannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana itu di luar bidang kuasa mahkamah syariah.

Keputusan tersebut dilaksanakan menurut undang-undang yang mula terpakai sejak 1 Januari 2006 lanjutan kepada Seksyen 61(3)b(X) di bawah Enakmen Aturcara Mal 2004, Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

Siti Fatimah yang dilihat berbaju merah jambu dan berskirt hitam diwakili oleh peguam syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani.

Pada 10 Julai 2006, wanita itu memfailkan permohonannya terhadap MAIPP selaku defendan.

Menurut pernyataan tuntutannya, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga negara Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 September 2004.

Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab.

Dalam tuntutannya juga, beliau menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging khinzir.

Dalam pada itu, sebelum mengumumkan keputusan, Hakim Othman kesal dan mengkritik MAIPP kerana lalai dengan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan mualaf.

''Sepatutnya MAIPP perlu menyelia dan membimbing golongan yang baru masuk Islam.

''Kalau tidak buat macam itu, dikhuatiri akan wujud lebih banyak kes-kes sebegini,'' katanya.

Tambahnya, murtad boleh berlaku berlandaskan tiga perkara iaitu melalui perbuatan, pertuturan dan iktikad yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Peguam syarie yang mewakili MAIPP, Ahmad Munawir Abdul Aziz memaklumkan kepada hakim bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang.

0 komentar: