Join ViralMoneyList.com

Isnin, 10 Mac 2008

Keadilan dalam pemilikan harta

Golongan kaya pikul amanah bantu fakir, miskin jayakan kegiatan ekonomi


Islam menentang pandangan yang menyatakan orang kaya adalah pemilik sebenar kepada harta dan kekayaannya. Oleh itu, ia berhak mendermakan atau tidak mendermakan sebahagian daripada harta itu sesuai dengan keinginannya. Ia juga bebas menggunakannya untuk memuaskan nafsu. Itu pandangan kapitalisme terhadap harta.

Ia adalah pandangan yang serupa dengan prinsip Qarun yang menyatakan seluruh harta yang ada padanya adalah hak miliknya secara mutlak, sebab ia adalah hasil kepandaian dan jerih payah Qarun bersikap aniaya terhadap kaumnya dan menafikan harta kekayaan yang ada adalah anugerah Tuhan. Sikap itu mendatangkan kemurkaan Allah. Maka Allah pun membenamkan Qarun bersama rumahnya ke dalam bumi .

Firman Allah bermaksud, "Maka kami benamkan Qarun berserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang boleh menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang (yang dapat) membela (dirinya) – (Surah al-Qasas 28: 81)

Islam menentang pandangan seperti di atas sampai ke akar umbi dan berpendapat harta adalah hak milik Allah. Allah menciptakannya dan dia pula menganugerahkannya. Orang kaya hanya seorang wakil yang dilantik oleh Allah pemegang amanah terhadap harta-Nya. Dengan perkataan lain fungsi orang kaya adalah mewakili Allah sebagai pemilik asal untuk menjaga, mengembangkan serta membelanjakan harta sesuai dengan kehendak dan keredaan-Nya.

Firman Allah bermaksud, "Belanjakan (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepadamu - (Surah al-Baqarah 2:254)

Berdasarkan firman itu, mesti difahami harta di tangan orang kaya sebenarnya adalah harta Allah yang dikurniakan kepada mereka.

Allah yang menciptakan manusia, harta dan alam semesta mewajibkan ke atas seluruh orang kaya untuk mendermakan kadar tertentu daripada harta Allah yang dititipkan kepadanya.

Dalam menekankan supaya mereka menunaikan kewajipan itu Islam tidak hanya bertumpu kepada nasihat, peringatan, motivasi atau dakwah. Cara seperti itu kurang berkesan terutama dalam menghadapi orang yang kesat hati, keras nurani dan lemah iman. Sebaliknya Islam mengikut sertakan campur tangan negara untuk menegakkan undang-undang. Tugas mengutip zakat daripada pihak orang kaya diberikan kepada golongan miskin adalah tugas negara.

Sesiapa yang enggan memberikan sebahagian daripada hartanya akan digesa dengan cara kekerasan atau suka rela untuk segera kembali ke pangkal jalan.

Dengan demikian, Islam menggabungkan antara dua jalan kebaikan. Islam menekankan nasihat agama dan akhlak, tetapi pada masa sama Islam juga menguatkuasakannya dengan ketentuan undang-undang dan kuasa pemerintahan. Allah menggunakan kuasa pemerintahan (Sultan) terhadap sebahagian manusia yang tidak mempedulikan peringatan al-Quran. Campur tangan kerajaan mesti diwujudkan demi merealisasikan jaminan dan tanggungan terhadap keperluan masyarakat. Inilah yang berusaha diterapkan oleh aliran kapitalisme atau sosialisme beraliran sederhana.

Walau bagaimanapun, Islam lebih utama daripada aliran moden di atas. Sebab Islam memiliki keistimewaan yang dimiliki oleh aliran itu. Di antaranya:

Islam muncul awal daripada aliran itu. Islam berjuang untuk mengukuhkan dan menjamin hak orang miskin sejak 14 abad yang lalu. Peribahasa menyatakan, keutamaan itu ialah milik orang yang memulakan meskipun orang yang meniru melakukannya dengan lebih baik.

Keaslian prinsip dan ajaran membuat Islam lebih istimewa daripada aliran ciptaan manusia. Aliran ciptaan manusia biasanya muncul ekoran keadaan tertentu dan digunakan untuk keadaan itu saja. Sebaliknya ajaran Islam adalah satu ajaran asli yang menjadi tiang utama dalam bangunan Islam yang agung.

Islam juga menjadi satu ajaran yang istimewa kerana kekal dan abadi. Ajaran aliran pemikiran ciptaan manusia biasanya digunakan dalam keadaan tertentu saja. Apabila keadaan itu berubah manusia akan meninggalkan ajaran itu untuk mengamalkan ajaran lain yang lebih sesuai dengan keadaan. Adapun ajaran Islam adalah syariat Allah yang kekal dan tidak menerima sebarang penggubalan dan perubahan sehingga hari kiamat.

Ajaran Islam bersifat sempurna dan syumul. Keistimewaan ini tidak akan wujud kecuali dalam ajaran diasaskan oleh Tuhan yang maha mengetahui. Dengan kekurangan yang ada dalam diri serta gesaan hawa nafsu yang boleh menyelewengkan pandangan dan pertimbangan, manusia sememangnya tidak mampu menciptakan ajaran yang bersifat sempurna dan universal seperti Islam.

Berkenaan isu jaminan terhadap golongan miskin, kesempurnaan dan kesyumulan ajaran Islam terserlah dalam dua perkara berikut, iaitu;

Pertama, sistem insurans diamalkan oleh Barat memberikan bantuan atau pampasan kepada orang yang ikut serta dalam sistem itu sesuai dengan kadar wang yang dibayarkan kepada syarikat insurans itu sepanjang usia kerjayanya. Bantuan dan cagaran dalam sistem insurans ini tidak diberikan sesuai dengan kadar keperluan seseorang. Sebaliknya siapa yang membayar lebih banyak akan menerima bantuan dan pampasan lebih banyak, manakala yang membayar sedikit pula meskipun keperluannya sangat banyak. Orang yang berpendapatan sedikit sememangnya akan sentiasa menerima sedikit dalam sistem ini.

Adapun sistem jaminan sosial yang berusaha direalisasikan Islam untuk umatnya tidak berdiri di atas pertimbangan kadar bayaran yang dibayar terlebih dulu. Ia juga tidak memberikan bantuan kepada orang memerlukan mengikut peratusan jumlah wang dibayarnya. Sebaliknya sistem jaminan sosial Islam memberikan bantuan kepadanya sebanyak kadar yang boleh memenuhi keperluannya, menghilangkan kerunsingannya dan mengeluarkan daripada kesukaran hidup yang dialaminya.

Kedua, sistem insurans yang diamalkan oleh Barat memiliki dua kelemahan, iaitu ia terhad kepada beberapa orang saja dan tidak mencakupi setiap individu memerlukan.

Ia tidak mampu merealisasikan keperluan golongan fakir miskin secara sempurna, seperti yang dilakukan Islam terhadap mereka dengan sistem zakat dan sistem lain.

Sistem insurans Barat hanya memberikan jumlah tertentu tanpa mengambil kira sama ada jumlah itu cukup untuk memenuhi keperluan atau tidak.


INTI PATI: Keistimewaan Islam

Islam berjuang untuk mengukuhkan dan menjamin hak orang miskin sejak 14 abad yang lalu.

Keaslian prinsip dan ajaran membuat Islam lebih istimewa daripada aliran ciptaan manusia. Aliran ciptaan manusia biasanya muncul ekoran keadaan tertentu dan digunakan untuk keadaan itu saja. Sebaliknya ajaran Islam menjadi tiang utama dalam bangunan Islam yang agung.

Islam juga menjadi satu ajaran yang istimewa kerana kekal dan abadi. Ajaran aliran pemikiran ciptaan manusia biasanya digunakan dalam keadaan tertentu saja. Apabila keadaan itu berubah manusia akan meninggalkan ajaran itu untuk mengamalkan ajaran lain yang lebih sesuai. Ajaran Islam adalah syariat Allah yang kekal dan tidak menerima sebarang penggubalan dan perubahan sehingga hari kiamat.

Ajaran Islam bersifat sempurna dan syumul. Keistimewaan ini tidak akan wujud kecuali dalam ajaran diasaskan oleh Tuhan yang maha mengetahui. Manusia sememangnya tidak mampu menciptakan ajaran yang bersifat sempurna dan universal seperti Islam.

- Bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)

0 komentar: