Join ViralMoneyList.com

Ahad, 10 Jun 2007

Lina Joy


mereka tak akan menang kerana melawan Allah, mereka hanya menang sementara
di dunia... sapa yg lebih berkuasa.... sama-samalah kita berdoa agar kita, generasi kita dan semua Islam yg ada sekarang sentiasa dlm Agama Allah dan dilindungi Allah & x terpesong
aqidah...amin



Jangan pinggirkan kuasa sebenar Mahkamah Syariah

AKHIRNYA penantian yang sungguh lama sudah berakhir! Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak permohonan Lina Joy@ Azlina Jailani bagi memadam perkataan Islam dalam kad pengenalannya. Perayu dalam petisyennya menamakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai 'penghalang' bagi beliau keluar daripada agama Islam. Sebenarnya, syarat yang dikeluarkan oleh JPN adalah mengikut prosedur kerana, kalau seseorang yang beragama Islam mahu keluar daripada agama Islam, platformnya ialah di Mahkamah Syariah. JPN tidak menafikan hak individu untuk menganuti apa-apa agama
termasuk untuk keluar daripada agama Islam tetapi ia hendaklah mengikut saluran yang betul.

Memandangkan bidang kuasa masuk dan keluar Islam terletak secara eksklusif di bawah Mahkamah Syariah, sudah tentulah Lina Joy seharusnya memohon perisytiharan keluar daripada agama Islam di Mahkamah Syariah. Beliau tidak boleh sama sekali mengambil 'jalan mudah' dengan mengetepikan kuasa sebenar yang ada pada Mahkamah Syariah.

Memang benar, sehingga sekarang Wilayah Persekutuan masih belum mempunyai
peruntukan untuk keluar daripada agam Islam, tetapi beliau tidak pernah memfailkan permohonan tersebut. Mungkin dengan keputusan ini, ada suara-suara yang mengatakan bahawa tiada hak kebebasan beragama bagi orang Islam di Malaysia. Jawapannya tidak tepat. Sama seperti di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, hak kebebasan beragama bersifat tidak mutlak. Terdapat pelbagai sekatan-sekatan demi menjaga kesejahteraan awam.

Sebenarnya, keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini tidak berbeza dengan keputusan-keputusan sebelum ini. Mahkamah Sivil tidak pernah melarang seseorang untuk keluar daripada agama Islam. Ini dapat dilihat dalam kes Soon Singh (1999) di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam permohonan murtad. Mahkamah Syariah sahaja yang diberi kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau sebaliknya. Maka, syarat yang dikenakan oleh JPN
menepati kehendak Perlembagaan di bawah Jadual Kesembilan Senarai Negeri - Senarai II yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa yang tersenarai.

Kemungkinan ada pihak yang mengatakan bahawa hak kebebasan beragama tidak terpakai ke atas orang Islam. Perspektif ini juga adalah salah. Di Malaysia, setiap individu bebas menganut dan mengamal ajaran agamanya kecuali pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam (Perkara 11 (1) dan 11 (4)). Mengikut Perlembagaan dan juga keputusan kes-kes sebelum ini, Mahkamah Sivil tidak pernah menafikan hak seseorang untuk keluar daripada agama Islam. Ia perlu mengikut saluran yang betul, yakni permohonan di Mahkamah Syariah.

Sebab-sebab

Persoalannya, di manakah remedi bagi Lina Joy? Dalam kajian saya, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang memperuntukkan prosedur untuk keluar daripada agama Islam. Tetapi pemohon hendaklah melalui satu sesi kaunseling bagi tempoh sehingga setahun. Tujuan kaunseling adalah untuk mengenal pasti sebab-sebab pemohon mahu keluar daripada agama Islam. Kalau pendidikan agama Islamnya cetek, maka tugas mereka adalah memberi tunjuk ajar supaya dia memahami agama Islam. Tetapi seandainya, setelah melalui sesi kaunseling tersebut, dan pemohon masih berdegil untuk keluar dari agama Islam, maka itulah pilihannya. Maka dengan rasa berat hati, mahkamah akan membuat perisytiharan bahawa individu tersebut bukan lagi seorang Islam.

Timbul masalah selepas perisytiharan tersebut. Kalau pemohon seorang Melayu, apakah beliau masih dianggap sebagai seorang Melayu? Ini kerana mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Maka apabila seseorang yang beragama keluar daripada agama Islam, maka mengikut definisi ini, beliau tidak boleh lagi dipanggil sebagai
seorang Melayu.

Kesimpulannya, keputusan yang penuh bersejarah ini akan melengkapkan pindaan Perlembagaan pada tahun 1988 terhadap Perkara 121 (1A) di mana Mahkamah Syariah merupakan platform sebenar dalam menentukan agama Islam seseorang. Adalah tidak tepat mengatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak pernah meluluskan permohonan keluar daripada agama Islam. Di Negeri Sembilan, terdapat tiga pemohon berjaya murtad pada tahun 2006 (sehingga Ogos), lima pada tahun 2005 dan 84 dari tahun 1994 hingga 2003.

DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL,
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam,
Universiti Teknologi Mara.

Rayuan Lina Joy ditolak -- Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan Islam kekal dalam MyKad


Oleh: KAMARIAH AHMAD dan NOR ZAINAH NORDIN

ORANG ramai berkumpul di pekarangan Palace of Justice menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kes Lina Joy di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 30 Mei 2007 - Seorang wanita Melayu, Azlina Jailani atau Lina Joy yang mengaku murtad sejak 17 tahun lalu, gagal dalam usahanya untuk menggugurkan perkataan 'Islam' daripada MyKad setelah Mahkamah Persekutuan hari ini mengumumkan penghakiman secara majoriti 2-1 menolak rayuannya.

Mahkamah itu menegaskan bahawa Azlina, 43, yang menukar namanya kepada Lina Joy, perlu mendapat sijil Mahkamah Syariah yang mengesahkan dia tidak lagi menganut agama Islam sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggugurkan perkataan Islam dalam MyKadnya itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sherif menolak rayuan tersebut, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan permohonan itu.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, JPN berhak mengenakan syarat kepada Lina Joy supaya mengemukakan sijil atau deklarasi atau perintah Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia murtad sebelum boleh menggugurkan perkataan 'Islam' daripada kad pengenalannya itu.

Hakim Malanjum pula berpendapat arahan JPN supaya Lina Joy mengemukakan sijil murtad dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak munasabah kerana, walaupun jabatan itu tidak melakukan apa-apa kesalahan undang-undang, namun adalah mustahil bagi syarat itu dipatuhi.

Galeri awam penuh sesak dengan orang ramai termasuk wartawan tempatan dan asing untuk mendengar penghakiman bersejarah oleh Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung tiga persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Lina Joy.


Tiga persoalan itu ialah:

* Sama ada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhak dari segi undang-undang mengenakan peraturan bagi memadamkan perkataan 'Islam' daripada kad pengenalan iaitu meminta pemohon menunjukkan sijil atau deklarasi atau perintah Mahkamah Syariah yang menyatakan pemohon telah murtad.

* Sama ada JPN menterjemah dengan betul bidang kuasanya di bawah Peraturan Kebangsaan 1990 terutama Peraturan 4 dan 14 untuk mengenakan syarat berkenaan sedangkan ia tidak dinyatakan dalam peraturan tersebut.

* Sama ada kes rujukan iaitu Soon Singh diputuskan dengan betul walaupun ia mengguna pakai teori pelaksanaan bidang kuasa yang mengisytiharkan bahawa Mahkamah Sivil boleh mengekalkan bidang kuasa mereka dalam keadaan di mana bidang kuasa tidak dinyatakan kepada Mahkamah Syariah.

Hakim Ahmad Fairuz membacakan sebahagian daripada alasan penghakimannya
setebal 42 muka surat yang turut dipersetujui oleh Hakim Alauddin.

Hakim Malanjum kemudian mengambil alih membentangkan alasan penghakimannya dalam prosiding yang berlangsung kira-kira sejam tujuh minit.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fairuz berkata, JPN mempunyai justifikasi untuk mendapat pengesahan penguasa agama Islam bahawa Lina Joy telah murtad sebelum meluluskan permohonan wanita itu untuk memadamkan perkataan 'Islam' daripada kad pengenalannya.

Beliau berkata, jika JPN menerima pengakuan seseorang bahawa dia telah keluar agama Islam berasaskan perisytiharan pemohon semata-mata, maka JPN mengambil risiko apabila menyatakan dia sebagai bukan Muslim sedangkan mengikut undang-undang Islam, orang itu masih belum murtad.

''Ini juga akan menyenangkan mereka yang dilahirkan dan dididik sebagai Muslim tetapi bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli kepada agama Islam, untuk diklasifikasikan sebagai bukan Muslim hanya untuk mengelak daripada dihukum atas kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Islam.

''Ini semua akan mengakibatkan celaan daripada masyarakat Muslim. Atas sebab ini, saya percaya, JPN mengguna pakai dasar bahawa perakuan bersumpah sahaja tidak cukup untuk membolehkan perkataan 'Islam' dipadamkan daripada kad pengenalan seseorang Muslim," katanya.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, ini kerana hal ehwal keluar dari agama Islam adalah suatu perkara yang berkaitan dengan undang-undang Islam.

Lina Joy merayu mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang menghalangnya memadamkan perkataan 'Islam' daripada kad pengenalannya dengan alasan tindakannya keluar daripada Islam tidak mendapat pengesahan Mahkamah Syariah atau pihak berkuasa Islam lain.

Wanita itu bertindak mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan setelah Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa sebagai orang Melayu yang beragama Islam seperti tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, dia tidak boleh keluar daripada Islam (murtad) dan soal tindakan murtad itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Lina Joy menamakan tiga responden iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (ketika itu), Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad.

Wanita itu diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das, manakala peguam Sulaiman Abdullah mewakili MAIWP dan pihak kerajaan pula diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi dan Mohamad Nasir Disa.

Kes itu menarik minat masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang bertindak sebagai peguam pemerhati antaranya Majlis Peguam yang diwakili Malik Imtiaz Sarwar dan Harris Ibrahim, Persatuan Peguam Muslim (Pawan Chik Marican), Meera Samanther mewakili Sisters In Islam dan Badan Tindakan Wanita Malaysia (AWAM).

Seorang lagi peguam Lina Joy, Benjamin Dawson, berkata pihaknya akan menimbang sama ada akan memfailkan semakan terhadap keputusan hari ini atau sebaliknya.

Ibu syukur rayuan Lina Joy ditolak

KUALA LUMPUR 30 Mei - Ibu Azlina Jailani atau Lina Joy, Mak Som, bersyukur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan anaknya hari ini untuk memadamkan perkataan 'Islam' pada kad pengenalannya.

Jurucakap keluarga Mak Som, S. Rahman Omar berkata, keceriaan jelas terpancar di muka Mak Som apabila diberitahu melalui telefon mengenai kegagalan rayuan tersebut.

''Sebaik sahaja mendapat berita tersebut, Mak Som mengucapkan syukur dan mendoakan keselamatan Azlina serta berharap anaknya itu dapat kembali ke pangkuan keluarga,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut S. Rahman, pada mulanya memang Mak Som dan ahli keluarga yang lain ingin hadir ke mahkamah tetapi atas nasihat beberapa pihak, maka rancangan itu dibatalkan. Ini kerana mereka bimbang sesuatu yang tidak diingini akan berlaku.

Justeru, katanya, beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini membantu dan memberi sokongan dalam kes tersebut mewakili keluarga Mak Som untuk mendengar keputusan tersebut.

S. Rahman memberitahu, kelmarin, Azlina ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya.

''Antara ayat SMS itu ialah dia meminta maaf atas apa yang berlaku dan menerima sebarang keputusan mahkamah.

''Daripada bunyi ayat SMS itu nampaknya Azlina yakin yang dia akan memenangi rayuan tersebut,'' katanya.

Pada tahun lalu, sebelum berangkat menunaikan umrah di Mekah, Mak Som merayu kepada Azlina supaya kembali semula ke pangkuan Islam malah pemergiannya itu adalah antara lain untuk berdoa supaya anaknya dibuka pintu hatinya untuk menerima Islam dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

Azlina, wanita yang menukar agama ke Kristian, gagal dalam rayuannya hari ini untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan untuk memaksa Jabatan Pendaftaran Negara memadamkan perkataan 'Islam' daripada kad pengenalannya.

Dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Azlina, 42, yang telah menukar namanya ke Lina Joy, perlu mendapatkan sijil pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia tidak lagi menganut agama Islam sebelum JPN boleh menggugurkan perkataan 'Islam' dalam kad pengenalannya.




azk

0 komentar: