Join ViralMoneyList.com

Khamis, 30 April 2009

0

Mengapa Muslim biarkan hati mati

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat
paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat
penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara
dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi
tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya
membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir
penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita
diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya
daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang
dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan
menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan
bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan
kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya
setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam
itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu
akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis
riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Sebenarnya ayat-ayat
Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi
kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka
kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras,
kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan
menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak
mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun
ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada
daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: "Kemudian selepas itu,
hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada
hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai
daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu
keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke
bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai
daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras
itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana
amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras
daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah
daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku
kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana
dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah
akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati.
Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada
hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:
* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak
mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang
keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh
Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang
nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani
dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak
makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja
akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang
dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak
menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan
bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati
mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah
itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: "Hari yang padanya harta benda dan
anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta
benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang
selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat
88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak
bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan
keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi
tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di
sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga
segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa
dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak
menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
* Zuhud dengan dunia
* Zikrullah
* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah. - lanh

0

Keutamaan dalam pengajian akidah

Apabila seseorang baru memeluk Islam, maka ramailah orang Islam di
sekelilingnya yang menawarkan diri menjadi 'ustaz' dan mahu memberi
tunjuk ajar kepadanya. Mereka merasakan diri mereka yang telah lama
Islam sudah tentulah lebih mengetahui selok-belok agama jika
dibandingkan dengan si muallaf itu.

Namun, kebanyakan mereka ini tidak mengetahui apa yang disebutkan
sebagai "awlawiyat" (keutamaan/priority) dalam agama.

Ada di kalangan mereka yang sibuk menyuruh si muallaf itu belajar
mengaji (recite) al-Quran. Sedangkan mempelajari bacaan (recitation)
al-Quran hanyalah fardhu kifayah, kecuali bacaan surah al-Fatihah yang
menjadi rukun dalam solat.

Ada juga yang memberat-beratkan si muallaf dengan perkara-perkara fiqh
tanpa mengambil kira keadaan muallaf yang baru sahaja cuba
menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai seorang muslim.
Keadaan ini bukan sahajamemberi kejutan kepada muallaf tersebut, malah
mengelirukan muallaf tentang konsep Islam yang sebenar.

Lebih teruk dari itu, muallaf yang memeluk Islam kerana hendak
berkahwin pula disibukkan oleh pihak bakal mertua dengan urusan
hantaran, persiapan perkahwinan, pendaftaran dsb. Akhirnya si muallaf
tidak berkesempatan atau hilang minat untuk mempelajari asas-asas
Islam. Maka tidak hairanlah jika terdapat muallaf yang ingin kembali
ke agama asal setelah gagal dalam perkahwinan mereka.

Ini semua berlaku kerana masyarakat Islam kita lebih mengutamakan
perkara-perkara fiqh berbanding akidah. Jadi, apabila seorang muallaf
memeluk Islam, mereka juga cuba membawa si muallaf itu ke arah cara
pemikiran yang sama.

Mereka perlu sedar bahawa dengan menguasai perkara-perkara fiqh
semata-mata tidak menjamin seseorang itu – samaada muallaf atau mereka
yang telah lama memeluk Islam – untuk kekal dalam akidah Islam.
Menguasai bacaan al-Quran juga tidak menjamin seseorang itu kekal
dalam Islam. Menghafaz ayat-ayat al-Quran tanpa memahami maknanya juga
tidak menjamin seseorang itu tidak keluar dari Islam.

Sabtu, 25 April 2009

0

Benarkah Kita Berjuang ... ?

Wahai orang yang beriman ! Apa yang telah berlaku kepada kamu ?

Apabila kamu diseru , agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama
Allah swt. tiba - tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke
permukaan bumi [ malas ]

Kenapa jadi begitu ? adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan
dunia berbanding kehidupan akhirat ?

Ketahuilah ! sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu ,
berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah swt. adalah sangat
kecil nilainya disisi Allah swt .

Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan ,
nescaya kamu akan diazab oleh Allah swt dengan azab yang sangat pedih
.

Maksud Firman Allah swt dari surah at Taubah . Ayat : 38 - 39

Seseketika dalam mengharungi perjuangan ini , alangkah kita duduk
sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri . Memandang jauh ke
dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri
sendiri . Lalu kita ajukan pada diri satu soalan , benarkah kita
berjuang ?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala
upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk
menjulang kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan
manusia , meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi
yang mengancam kepentingan diri .

Atas alasan dan tujuan tersebut , kita menyertai jamaah Islam ini bagi
memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara
lebih berkesan . Persoalannya , benarkah kita berjuang ?

Benarkah kita berjuang ? , kalau hanya mengisi borang dan mendaftar
diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited [ iltizam
] dengan segala aktiviti amal jamaei yang dianjurkan oleh jamaah .
Kita hanya mampu mentarbiyah tetapi tidak boleh ditarbiyah . Mampu
mengarah tetapi tidak boleh diarah . Mampu menegur tetapi tidak boleh
ditegur .

Benarkah kita berjuang ? , dengan hanya semata - mata kerap
menghadhiri ceramah - ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan
menekuni program - program khusus seperti usrah , liqa fikri , tamrin
, mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail , al
mathurat dan zikrullah . Program ceramah dilihat lebih penting sebab
kita dapat publisiti sedang usrah ni hanya dihadhiri oleh 10 orang ,
tidak glamour langsung !

Benarkah kita berjuang ? , apabila kita selalu sahaja gagal
melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas
pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau dimana peringkat posisi
kepimpinan kita . Mesyuarat sering tidak hadhir dan kalau pun hadhir
hanya dengan kepala kosong . Lebih malang , ada mesyuarat dalam
mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat .

Benarkah kita berjuang ? , sedang banyak masa kita habiskan untuk
bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan . Hanya pandai
mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita
sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang . Kerja kita tidak
beres tetapi nak ambil kerja orang lain . Kalut tidak bertempat .

Benarkah kita berjuang ? , seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah
atau persaudaraan Islam sesama anggota . Cepat berburuk sangka malah
sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan
peribadinya seolah - seolah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita .
Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat , berilmu dan berpengalaman .
Pintar berhujjah dan berdebat . Kita pandang sahabat pun hanya dengan
sebelah mata , penuh rasa benci . Senyum dan bersalam hanya untuk
bermuka - muka .

Benarkah kita berjuang ? , suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah .
Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita
tulis dalam blog atau web site . Kita jadikan ia bahan sensasi untuk
melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani
menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta . Hanya kita yang
mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah
pengkhianat yang perlu ditumpaskan .

Benarkah kita berjuang ? , kerana wawasan dan sesuatu gagasan
pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita
tidak suka , maka kita tolak mentah - mentah . Lebih malang kita kasar
dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara . Langsung kita tidak
hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah
bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai .